Skip to main
Logo Malaysiakini

'Biar den mati di kampung sendiri'

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas presiden, Mohamad Hasan berkata beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) Rantau meskipun berdepan cabaran hebat.

Secara berkias Mohamad berkata, biarlah beliau "mati" di kampung sendiri dan sama sekali tidak akan lari daripada mempertahankan kerusi berkenaan.

"Kek (dekat) Rantau saya bertanding, itu kampung den (saya), takkan den nak lari.

"Biar den 'mati' di kampung sendiri," katanya ketika berucap di kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, Semenyih malam tadi.

Mohamad hilang kerusi berkenaan selepas gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 membabitkan kerusi tersebut terbatal dan tidak sah.

Sehubungan dengan itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau perlu diadakan dalam masa terdekat.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Ri­chard Malanjum yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, David Wong Dak Wah, Alizatul Khair Osman Khairuddin, Rohana Yusuf dan Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan untuk menolak rayuan Mohamad dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas alasan rayuan yang dibuat tidak mempunyai merit.

Malanjum ketika memutuskan pembatalan kemenangan Mohamad berkata, wakil PKR, Dr S Streram mempunyai lokus standi untuk mengemukakan petisyen pilihan raya.

Sementara itu, Mohamad turut merakamkan penghargaan terhadap PAS Negeri Sembilan yang memberi laluan kepadanya untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Mengulas mengenai tindakan S Streram yang tidak membawa pas calon pada hari penamaan calon pada PRU ke-14 lalu sengaja diadakan bagi memburukkan imej SPR pada masa itu

"Dia sengaja tidak bawa, sebab dia nak tunjuk kepada dunia betapa kotornya politik negara ini ketika itu. Dia nak tunjuk kepada dunia kononnya SPR tidak telus," katanya.