Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno, PAS bincang hala tuju kerjasama 5 Mac ini

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Umno dan PAS akan duduk semeja 5 Mac nanti bagi membincangkan hala tuju serta garis panduan kerjasama dua parti dominan orang Melayu itu.

Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas presiden, Mohamad Hasan, berkata beliau akan mengetuai kumpulan parti itu, manakala PAS pula diwakili timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

"5 Mac, Selasa, team Umno dan PAS akan duduk bersama bagi membincangkan garis kasar terma-terma untuk kita bekerjasama.

"Kemudiaannya kita akan turun ke negeri-negeri," katanya ketika berucap di kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, Semenyih malam tadi.

Mohamad Hasan

Mohamad berkata, langkah Umno dan PAS bagi memperkukuhkan kerjasama itu pastinya mendatangkan kegerunan kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP.

Umno dan PAS menjalinkan kerjasama selepas BN tumbang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, 9 Mei tahun lalu.

Kerjasama itu semakin erat apabila Umno dan PAS mencapai persetujuan khususnya membabitkan calon bertanding dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK).

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau menyaksikan PAS memberi laluan kepada BN bertanding, manakala Umno pula menyokong PAS dalam PRK DUN Seri Setia.

PRK Cameron Highlands pula menyaksikan kerjasama lebih hebat antara dua parti itu yang membolehkan BN memperoleh kemenangan sulung.

Momentum itu diteruskan pada PRK DUN Semenyih sehingga jentera PAS turut digerakkan bersama jentera BN.

Sementara itu, Mohamad yang lebih dikenali dengan jolokan Tok Mat berkata, kerjasama Umno, PAS adalah hikmah terbesar di sebalik kekalahan BN.

Katanya, kerjasama itu bukan saja membina satu corak politik baru negara, malah ia memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Meskipun menjadi bangsa majoriti, namun orang Melayu lemah kerana perpecahan yang begitu ketara disebabkan politik.

"Kita akan membina corak politik baru negara, inilah hikmah kalahnya BN," katanya.