Skip to main
Logo Malaysiakini

Peniaga ditahan bantu siasatan kes cincin RM2.89 juta

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Polis menahan seorang peniaga lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan 'kehilangan' sebentuk cincin berlian dan ruby berharga RM2.89 juta yang dilarikan daripada sebuah kedai emas di Genting Highlands pada Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata suspek berusia 46 tahun dan berasal dari Kuching, Sarawak itu ditahan di Bentong, dekat sini pada 4.30 petang semalam.

Katanya, suspek merupakan peniaga barangan import dari China dan mengusahakan hotel bajet di ibu negara serta menyediakan perkhidmatan pemandu dan kereta mewah sewa menerusi aplikasi WeChat sebagai pendapatan sampingan.

"Suspek dipercayai mengenali dua suspek utama yang pernah beberapa kali menyewa kereta sewanya untuk ke Genting Highlands termasuk pada hari kejadian selain turut menghantar mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa jam selepas kejadian.

"Suspek juga mengikut suspek ke Ho Chi Minh, Vietnam pada Ahad namun mendakwa dua suspek utama tidak berada di hotel pada Isnin menyebabkan dia membuat keputusan pulang ke Malaysia pada Selasa," katanya kepada pemberita hari ini.

Mohd Wazir menambah suspek juga telah membawa polis ke sebuah hotel di Kuala Lumpur yang dikatakan lokasi penginapan suspek utama, namun pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) dan rekod pendaftaran tidak menunjukkan mereka menginap di situ.

Sehubungan itu, Mohd Wazir menambah pihaknya akan memohon perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Bentong hari ini, bagi meneruskan siasatan.

Media sebelum ini melaporkan tindakan seorang lelaki dipercayai warganegara China berusia lingkungan 50-an menukar cincin berlian itu dengan cincin palsu selepas berpura-pura berminat untuk membelinya dan menelitinya selama 20 minit.

Suspek kemudiannya memulangkan cincin palsu yang lebih 90 peratus menyamai cincin asal kepada jurujual kedai itu, dan dipercayai telah merancang perbuatannya lebih awal memandangkan dia pernah melihat cincin sama di kedai itu, bulan lalu.

-- Bernama