Takiyuddin: Kami ada dokumen, Anwar cakap atas khabar angin
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata beliau akan membuat sidang media khas bagi menjawab dakwaan Presiden PKR Anwar Ibrahim berkenaan parti itu membayar RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown.
Beliau berkata pihaknya akan mengemukakan segala bukti berkenaan perkara itu.
"Kami akan tunjukan semuanya...Dia (Anwar) kata dia semak dengan mahkamah London. Kami ada semua dokumen dan akan dedahkan semuanya.
"Kami yakin dokumen lebih kuat berbanding kata-kata sahaja. Kami akan jawab berdasarkan dokumen," katanya ketika ditemui pemberita di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan Anwar ketika berceramah di Semenyih semalam, bahawa PAS membayar RM1.4 juta kepada Clare bagi menyelesaikan saman fitnah yang difailkan presidennya Abdul Hadi Awang.
Menegaskan bukti ada bersamanya, Anwar mencabar PAS untuk menjawab dakwaan tersebut.
Takiyuddin berkata jika benar Anwar memiliki bukti yang menunjukkan perkara itu, beliau perlu mengemukakannya.
"Dia kena tunjuklah. Dalam kenyataan dulu saya sudah berkata, kita sudah bagi penyata akaun PAS sejak Januari 2015 hingga Disember 2018 kepada SPRM.
"Saya akan tunjukkan berdasarkan bukti. Bukan macam dia, dia bercakap berdasarkan khabar angin," katanya lagi.
Anwar pertama kali membangkitkan tentang bayaran RM1.4 juta itu pada 26 Februari lalu apabila meminta PAS memberi penjelasan tentang perkara itu.
Katanya, ia berikutan kenyataan bercanggah antara Abdul Hadi dan Clare berhubung penyelesaian luar mahkamah antara mereka.
Takiyuddin menafikan kenyataan itu sehari kemudian dengan berkata perintah persetujuan mahkamah menunjukkan Abdul Hadi sebagai pihak yang menuntut tidak membayar apa-apa bayaran atau kos kepada Clare selaku defendan.
"PAS lagilah tidak membayar apa-apa bayaran di mana-mana peringkat kes ini kerana PAS bukanlah satu pihak dalam tindakan ini (PAS is not even a party to the suit)," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai