Pengundian PRK Semenyih berakhir
PRK SEMENYIH | Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bagi memilih wakil rakyat baharu berakhir pukul 5.30 petang ini.
Pengundian di 24 pusat mengundi berlangsung sejak 8.00 pagi.
Setakat 4.00 petang, peratusan pemilih yang pergi mengundi ialah 68 peratus, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Seramai 53,411 pengundi biasa layak mengundi hari ini dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor dari Pakatan Harapan (PH), pada 11 Jan lepas.
Pengundian awal bagi PRK itu diadakan Selasa lepas.
Pusat penjumlahan rasmi undi yang ditetapkan ialah di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian, Kajang.
SPR sebelum ini dilapor menjangkakan keputusan pengundian diumum sebelum pukul 10 malam.
PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.
Ia adalah PRK keenam selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai