Maszlee hidupkan harapan Institut Pendidikan Guru Kota Bharu
Kementerian Pendidikan Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan status Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu selepas meneliti keperluan dan sumbangan dalam sektor pendidikan negara.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya sebelum ini mengambil masa untuk mengkaji alasan-alasan oleh kerajaan persekutuan terdahulu yang mahu menutup dan menukar fungsi institut pengajian itu.
Katanya, pada hari pertama masuk ke pejabat di kementerian itu beliau menerima kunjungan demontrasi oleh warga IGP Kota Bharu.
"Kita mengambil masa kerana saya sendiri pun kabur, apa masalahnya? Pegawai-pegawai yang ada masih meneruskan fungsi kerajaan lama, mereka bawa laporan-laporan yang meyakinkan supaya IGP ini ditutup.
"Namun alhamdulillah, berkat sokongan dan sumbangan daripada pimpinan Pakatan Harapan (PH) Kelantan, akhirnya kita pertimbangkan.
"Dan memang kita dapati ada cadangan supaya kita menutup, menukar fungsi beberapa IPG. Selain bantahan alumni, PH Kelantan dan warga IPG sendiri, sebenarnya ada alternatif yang boleh difikirkan secara kreatif. Kerajaan lama nak kira mudah saja, nasib baik mereka kalah," katanya ketika berucap di Majlis Kesyukuran dan Pemerkasaan IPG Kampus Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, hari ini.
Alasan tutup tak relevan
Hadir sama Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH Kelantan, Kamaruddin Md Nor dan Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, Hashim Deraman.
Maszlee berkata, pihaknya melihat alasan-alasan cadangan penutupan institut itu tidak relevan dan boleh diperbaiki.
"Jadi bila kita lihat dan pertimbang balik, rupanya antara isu yang menjadi alasan kerajaan lama kerana tiada kemasukan yang ramai, selain pentadbiran lama mendakwa pusat pendidikan berkenaan tidak berkualiti.
"Kalau kualiti tidak cukup, kita cuba tingkatkan. Sebab itu kita mahu IPG Kota Bharu bertaraf seperti Universiti International Singapura melalui sokongan pensyarah IPG dengan menukar budaya dan sistem supaya kualiti mereka ditingkatkan.
"Satu lagi alasan mereka adalah IPG ada peruntukan lebih, namun banyak kelas kosong. Tapi kita boleh fikirkan kelas berkenaan diguna oleh pelajar vokasional yang mungkin boleh bergabung dengan IPG," katanya.
Sementara itu, Maszlee berkata kerajaan sentiasa prihatin dan cakna terhadap pandangan masyarakat yang mahu IPG Kota Bharu diteruskan memandangkan pusat pendidikan berkenaan sudah melahirkan puluhan ribu guru.
"Namun, kita melihat IPG Kota Bharu perlu menambah peranan menjadi pusat latihan bukan saja kepada guru di negara ini, malah mereka dari Selatan Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam.
"Ketika ini, IPG ini sudah memberi latihan kepada 30 guru dari Selatan Thailand melalui kursus pendek secara berkala dengan kerjasama Jabatan Bahasa mereka.
"Jadi ini adalah visi kementerian mahu menjadikan taraf IPG Kota Bharu sehingga peringkat antarabangsa sekali gus meningkatkan nilai ekonomi kepada rakyat Kelantan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai