Jangan dibakar keamanan negara, pesan mufti
Selepas muncul sekali lagi hantaran media sosial yang menghina Nabi Muhammad SAW, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata ia tidak lagi boleh dianggap sebagai kes terpencil.
Sebaliknya kata Mohd Asri, ia menunjukkan ada kehendak terpendam yang cuba membakar kemarahan umat Islam di negara ini.
Membuat hantaran di media sosialnya hari ini Mohd Asri meminta orang bukan Islam agar menasihati saudara-mara atau kenalan mereka agar mengawal tingkah laku masing-masing.
"Muslim itu masih sabar jika dirinya atau keluarganya dihina tetapi mereka tidak akan bersabar lagi jika Islam dan rasul-Nya dihina.
"Sayangi dan hargailah nikmat keamanan yang kita miliki," katanya.
Semalam ada seorang lelaki didakwa mencetuskan kemarahan umat Islam dan Melayu di negara ini apabila membuat kenyataan provokasi di Twitter.
Ekoran tindakannya itu Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas Azmi, membuat laporan polis di Putrajaya agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan ke atas pihak yang terbabit.
Minggu lalu seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan selepas memuat naik hantaran yang menghina Nabi Muhammad serta isteri baginda, Saidatina Aishah.
Secara berkias Mohd Asri juga berpesan agar orang bukan Islam tidak sengaja menggugat keamanan negara yang dikecapi sejak sekian lama.
"Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran," katanya.
Beliau yang juga dikenali dengan nama Maza berkata, memang ada kelemahan dalam kalangan masyarakat Muslim di negara ini namun tahap toleransi yang diamalkan wajar dihargai.
"Jangan kerana sikap biadab dan dendam kesumat, maka saudara-saudari membakar negara aman yang telah lama kita bina," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai