Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesan buat Adun PKR: Menang, kalah sama-sama

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Pemimpin Bersatu Pulau Pinang menggesa Adun Batu Uban dari PKR, A Kumaresan tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan Pakatan Harapan (PH).

Ini selepas Kumaresan meminta Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk segera menggantikan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, berkata MP Port Dickson itu diperlukan untuk memulihkan keyakinan selepas dua kekalahan di Cameron Highlands dan Semenyih.

"Saya tertarik petikan ayat dari Filem Ola Bola iaitu "Kita menang sama-sama, kita kalah sama-sama". Pakatan Harapan sepatutnya berpegang kepada petikan ayat itu dan tidak seharusnya menyalahkan orang lain.

"Kita perlu menjadi sebuah blok campuran yang mempunyai harmoni serta permuafakatan yang kuat.

"Justeru, saya berharap tiada kenyataan kenyataan yang dapat menganggu gugat keharmonian di dalam Pakatan Harapan. Teruskan laksana janji dan membantu rakyat keseluruhannya," kata Penolong Setiausaha Pemuda Bersatu Pulau Pinang, Aizat Khalid dalam suatu kenyataan hari ini.

Aizat berkata peralihan kuasa bukan keutamaan pada masa ini kerana PH perlu memfokuskan pada usaha memenuhi janjinya yang diperhatikan orang ramai.

Rencat kekuatan PH

Sementara itu, Ketua Bersatu Bahagian Bayan Baru Azahari Aris berkata jika Mahathir dipersalahkan atas kekalahan itu, maka keseluruhan jemaah menteri juga turut bertanggungjawab.

Menurut Azahari yang juga setiausaha Bersatu negeri pemilihan calon PH di Semenyih diputuskan secara persetujuan bersama dalam Majlis Presiden PH.

"Kita tidak mahu kenyataan yang menjurus kepada sentimen kepartian boleh merencatkan kekuatan serta kerjasama PH.

"Biarlah kekalahan Semenyih ini dijadikan kayu ukur sejauh mana Kerajaan PH melaksanakan gerak kerja yang boleh dibanggakan pengundi yang telah mengundi PH menjadi kerajaan," katanya dalam suatu kenyataan berasingan.

Azahari berkata terdapat banyak kerja yang perlu dibuat kerajaan PH dan menukar perdana menteri sekarang tidak akan mengubah keadaan.

"Jika menukar perdana menteri sekalipun, momentum sokongan pengundi yang beralih pada BN buat masa sekarang tidak akan berubah kerana yang menjadi kemarahan pengundi sehingga ditafsirkan dalam kertas undi di PRK Semenyih adalah perlaksanaan Dasar Kerajaan PH yang dilihat tidak mempedulikan kehendak rakyak.

"Kita tahu bukan perkara mudah untuk merombak atau menukar dasar yang telah beku selama lebih 60 tahun dibawah rejim BN.

"Ianya memerlukan satu tindakan yang drastik khususnya apabila melibatkan perubahah dasar yang perlu melibatkan pembentangan di parlimen," katanya.

Awal hari ini, Kumaresan mengkritik kerajaan kerana beberapa janji yang tidak ditunaikan, berkata Anwar perlu mengambil alih kerajaan.