Kebakaran terbuka naik sekali ganda dalam tempoh sebulan - KP bomba
Kes-kes kebakaran terbuka dalam negara meningkat dengan ketara sejak kebelakangan ini apabila jumlahnya menjangkau 3,054 kes yang dilaporkan sepanjang bulan Februari lepas, berbanding 1,936 kes pada bulan sebelumnya.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Mohammad Hamdan Wahid berkata angka ini boleh meningkat lagi dalam keadaan cuaca panas sekarang, dan mungkin bertambah buruk sekiranya tiada kerjasama ramai untuk membendung aktiviti kebakaran berkenaan.
“Saya meminta orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka dalam keadaan cuaca sekarang. Kalau tidak, keadaan jerebu teruk seperti tahun-tahun 1997 dan 2015 boleh berulang lagi,” katanya selepas majlis penyampaian pingat kebesaran dan anugerah perkhidmatan cemerlang JBPM Pulau Pinang di Batu Kawan.
Menurutnya pasukan-pasukan unit udara jabatan itu di Sibu (Sarawak), Subang (Selangor) dan Bertam (Pulau Pinang) sudah diarah bersiap sedia menggunakan pesawat mereka yang ada untuk menjalankan pemadaman jika berlaku kebakaran terbuka di kawasan hutan.
“Saya juga menasihatkan para petani untuk mendapatkan kebenaran dari Jabatan Alam Sekitar terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai