Skip to main
Logo Malaysiakini

Penganjur demo anti-Icerd gesa Agong pecat AG

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menggesa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu supaya memecat Peguam Negara, Tommy Thomas.

Jurucakap kumpulan itu, Kamaruzaman Mohamad berkata ini perlu dilakukan kerana negara memerlukan seorang peguam negara (AG) yang "lebih sensitif" terhadap memelihara kesucian agama Islam.

Antara kes yang dakwa Kamaruzaman gagal ditangani oleh Thomas adalah berhubung kematian seorang anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim serta kes mereka yang menghina Nabi Muhammad SAW.

“Sekiranya dibiarkan AG (Thomas) ini semakin lama di kerusi peguam negara, saya yakin keadaan akan menjadi lebih parah.

“Maka saya menyeru Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, panggil satu sidang khas pecat AG yang ada dan ganti dengan AG yang lebih baik, yang dapat jaga kesucian Islam negara,” kata Kamaruzaman, yang juga adalah ketua bahagian PAS Putrajaya.

Beliau berkata demikian selepas kumpulannya membuat laporan polis di Kuala Lumpur terhadap dua individu yang didakwa menghina Islam di laman Facebook masing-masing.

Selain Ummah, turut membuat laporan polis adalah Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia.

Walaupun pihak polis telah menjalankan siasatan ke atas beberapa individu yang didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan di media sosial, pemimpin Umno dan PAS berulang kali mendakwa pihak berkuasa sama ada tidak melakukannya atau melambat-lambatkan tindakan.

Punca kematian Adib sedang disiasat oleh Mahkamah Koroner Shah Alam. Adib meninggal dunia selepas mengalami kecederaan semasa bertugas ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 di Selangor.

Kamaruzaman mendakwa kes penghinaan terhadap Islam semakin menjadi-jadi kerana kelemahan pihak penguatkuasaan.

“Saya beri amaran, sekiranya kerajaan gagal tangani isu ni dengan baik, kita akan buat himpunan jauh lebih besar daripada (himpunan) anti-Icerd. Ini janji kita daripada Ummah.

“Hari ini, seolah-olah wujud terancang usaha untuk timbul ketegangan kaum, saya yakin ada pihak mengaut keuntungan daripada suasana tegang yang berlaku dalam negara kita.

“Maka kami mohon polis ambil tindakan segera sebelum suasana menjadi lebih parah...,” katanya.