Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak buaya sesat di parit perumahan

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Kehadiran seekor anak buaya sepanjang tiga meter di parit perumahan Kampung Jawa di sini semalam, dipercayai kerana 'tersesat' dari Sungai Kuantan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang Ahmad Azhar Mohamed berkata kelibat anak buaya itu ditemui penduduk awam pada 8.30 malam semalam.

"Kami mendapat aduan terdapat seekor anak buaya yang kami percaya sesat dibawa arus air pasang Sungai Kuantan. Pasukan kami menunggu sehingga air surut pagi ini, namun kelibatnya sudah tidak kelihatan.

"Kami percaya ia telah pulang ke habitat asal di muara Sungai Kuantan mengikut arus air, namun pemerhatian akan terus dilakukan bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad Azhar juga menasihatkan penduduk yang melihat buaya untuk tidak mengambil tindakan sendiri menangkap buaya itu kerana dibimbangi haiwan berkenaan bertindak ganas.

Semalam, gambar yang menunjukkan penduduk di kampung itu cuba menangkap seekor anak buaya yang ditemui berenang dalam parit tular di laman sosial WhatsApp.

Kejadian itu dipercayai kali pertama berlaku di kawasan perumahan berkenaan.

- Bernama