Skip to main
Logo Malaysiakini

Draf RUU Majlis Media disasar siap hujung April - CIJ

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Draf RUU penubuhan Majlis Media Malaysia dijangka siap pada penghujung April ini dalam inisiatif yang digerakkan oleh Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) dan Malaysian Centre for Constitutional and Human Rights (MCCHR).

Hal ini diputuskan susulan persidangan selama dua hari mengenai perkara itu di Kuala Lumpur yang dihadiri persatuan wartawan, para editor, pemilik media, NGO, ahli akademik, badan pemikir dan peguam.

Pengarah CIJ Sonia Randhawa berkata beliau berpuas hati dengan usaha tersebut yang menghasilkan pembentukan jawatankuasa pemandu untuk merangka draf dan menyiapkan RUU ini.

"Jawatankuasa pemandu akan melibatkan majoriti persatuan wartawan, dengan wakil-wakil daripada kumpulan lain juga. Terdapat juga satu wakil daripada pertubuhan masyarat sivil dan seorang ahli akademik.

"Kami juga akan menghantar surat undangan kepada para editor dan pemilik media yang telah merangka draf (RUU yang berasingan) untuk menyertai jawatankuasa ini dan diharapkan akan membentangkan draf RUU mereka," katanya kepada pemberita selepas persidangan itu berakhir.

CEO Malaysiakini Premesh Chandran ketika berucap di persidangan ini semalam berkata terdapat penerbit dan editor media tempatan yang telah merangka draf cadangan mereka sendiri mengenai aspek perundangan majlis media tersebut.

Jawataankuasa pemandu RUU Majlis Media yang diusahakan CIJ dan MCCHR ini juga melibatkan penyertaan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Badan Wartawan Malaysia (IOJ), Foreign Correspondents Club of Malaysia (FCCM) dan kumpulan prokebebasan media tempatan, Gerakan Media Merdeka (Geramm).

Semalam penasihat komunikasi dan media kepada perdana menteri, A Kadir Jasin yang menyampaikan ucaptama dalam persidangan ini berkata Majlis Media Malaysia perlu ditubuhkan pada tahun ini.

"Saya fikir jika kami gagal, sekurang-kurangnya dalam tahun ini untuk menubuhkan majlis media, maka saya percaya kami tidak melakukan apa yang sepatutnya kami perlu buat.

"Dan ini tidak disenangi industri media (dan) kepada wartawan," katanya.

[Baca berita penuh]