Skip to main
Logo Malaysiakini

Misi pembangkang: Strategi 'bumi hanguskan' PH - Liew

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

'Persandingan' Umno dan PAS, serta MCA dan MIC 'menceraikan' Umno dalam BN dapat dilihat melalui sudut pandang taktik ketenteraan, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

"Bagaimana melihat pensejajaran semula ini? Saya menggelarkannya sebagai 'gerakan atau dasar bumi hangus'," katanya pada ciapan di Twitter hari ini.

Menurut Liew, ini akan diterjemahkan melalui serangan terhadap PH dari dua arah.

"Misinya untuk menghancurkan Pakatan Harapan dan membakar gabungan itu melalui serangan mengapit (dari kiri dan kanan)," jelasnya.

Beliau menjelaskan hal ini dapat dilihat apabila Umno dan PAS melancarkan 'tembakan' di medan orang Melayu, manakala MCA dan MIC pula mensasarkan lapangan medan orang bukan Melayu.

Menjelaskan lanjut, Liew berkata ini merupakan "gerakan kebangkitan perkauman."

Naratif PH gagal lindungi Melayu

Perikatan pilihan raya Umno-PAS terbukti berjaya dalam dua pilihan raya kecil di Cameron Highlands dan di Semenyih. Dalam kedua-dua PRK ini calon BN memenangi undi majoriti Melayu.

Umno dan PAS membawakan naratif kerajaan Harapan telah gagal untuk melindungi kepentingan orang Melayu dan Islam.

Bagaimanapun, retorik kaum dan agama telah menimbulkan rasa kurang senang sekutu Umno dalam BN iaitu MCA dan MIC.

Pada Isnin, Presiden MCA Wee Ka Siong Presiden MIC SA Vigneswaran mencadangkan kedua-dua pihak mengorak langkah ke hadapan dan meneroka satu pakatan baru.

MCA dan MIC juga menuntut mesyuarat Majlis Dewan Tertinggi BN untuk diadakan secepat mungkin untuk membincangkan nasib gabungan itu.

Dari sudut undi pilihan raya, Umno tidak menganggap MCA dan MIC sebagai sekutu yang penting kerana kedua-dua parti itu kurang mendapat sokongan dari kalangan masyarakat Cina dan India.

PRU14 lalu menyaksikan MCA cuma menang satu kerusi parlimen tunggal manakala MIC pula cuma menang dua kerusi. Bagaimanapun kerusi MIC juga tinggal satu selepas penyandang kerusi parlimen Cameron Highlands C Sivarraajh dibatalkan.