'Janganlah terus bernostalgia, Tun...'
ULASAN | Dalam laman blog beliau, Dr Mahathir Mohamad memberi pandangannya mengenai kerjasama PAS dan Umno.
Beliau bernostalgia mengenai cerita politik lama, tentang naratif PAS mengkafirkan Umno dan Amanat Haji Hadi sebagai hujah utama mengapa - bagi beliau - kerjasama ini bermasalah.
Hujah kedua ialah, kerjasama PAS dan Umno akan menghalalkan jenayah Najib Razak dan mengembalikan beliau sebagai seorang pemimpin politik semula.
Pertama, usahlah bernostlagia mengenai perkara lama. Soal sembahyang dua imam, kafir-mengkafir dan pelbagai lagi tuduhan terhadap PAS adalah cerita lama yang diulang-ulang tanpa sudah.
Sedangkan perkara tersebut tidak lagi berlaku dalam Malaysia pascamoden.
Nampaknya itu sahaja naratif Mahathir untuk PAS. Sedarlah, orang Melayu sudah lama melupakan naratif tersebut. PAS telah lama menjadi parti Islam yang sofistikated.
Dengan slogan Islam Untuk Semua dan Membangun Bersama Islam, PAS menjadi pergerakan politik yang dihormati.
Jika tidak, masakan DAP dan PKR pernah bersekutu dengan PAS. Dan Mahathir sendiri - sebelum PRU lepas - bermati-matian cuba mendapatkan kerjasama PAS untuk menentang BN.
Ada naratif baru sekarang
Cercaan Mahathir pada PAS telah membuakkan rasa tidak senang pelbagai pihak kerana ia sangat merugikan umat Melayu - dan Islam khususnya.
Sifat tertutup, dan tidak besar hati pimpinan Mahathir memecah-belahkan umat Melayu kepada pelbagai kelompok selama ini.
Kedua, sudah tiba masanya untuk Mahathir duduk dan merenung situasi politik sekarang. Janganlah nama Najib menjadi ratib zikir beliau pada usia sebegini.
Naratif 1MDB, kecurian, mahupun kleptokrasi sudah muak didengar rakyat, tatkala kos sara hidup, gaji, perumahan kos rendah dan insentif-insentif prokebajikan untuk mereka sama ada tidak beransur naik, sudah dihapuskan atau berkurangan.
Ya, orang ramai mengakui tindakan mahkamah dimulakan. Kita serahkan kepada pihak berkuasa dan sistem kehakiman untuk menentukannya.
Sehingga sesuatu itu terbukti salah, maka kita tidak boleh sepenuhnya menghukum secara total. Bukankah itu rule of law yang Mahathir selalu pekikkan?
Sudah wujud naratif baru yang sedang menggantikan kleptokrasi, iaitu kerajaan kakistokrasi pimpinan Mahathir yang merugikan rakyat marginal dan menguntungkan kroni kapitalis semata-mata.
Kerjasama Umno dan PAS demi watan akan menjadi ketumbukan politik yang bakal mengubah landskap berpolitik dan bernegara.
Ia akan menyatukan orang Melayu pada tahap yang tidak pernah kita lihat sebelum ini.
Ingatlah peringatan Allah: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beramal soleh dan melakukan kebaikan".
Umno dan PAS tidak ingin lagi membuang masa dengan bercakaran tanpa henti. Telah tiba masanya melakukan kebaikan dan amal soleh untuk bangsa dan tanah air melalui kerjasama politik.
Akhirnya Tun, urusan kerjasama Umno dan PAS adalah urusan kami. Biarkanlah kami mengurusnya. Sama ada ia akan berjaya atau sebaliknya, terpulanglah kepada ikhtiar kami.
Kami doakan yang terbaik jua untuk Tun dengan jalan bersama DAP yang telah dipilih dan dukung.
MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno, ketua Umno Perlis dan bekas menteri besar.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai