Skip to main
Logo Malaysiakini

Saham bursa KL rendah tengah hari ini

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Saham-saham di Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari, berikutan kebimbangan pelabur mengenai perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang semakin buruk selain kedudukan rundingan kedua-dua ekonomi besar dunia itu yang berkemungkinan tidak dapat dimuktamadkan segera.

Pada rehat tengah hari, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.08 mata kepada 1,682.87 berbanding 1,686.95 pada penutupan Khamis, selepas dibuka 0.82 mata lebih rendah pada 1,686.13.

Indeks bergerak antara 1,681.62 dan 1,688.28 di sepanjang sesi pagi.

Kedudukan pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 429 berbanding 258, manakala 345 kaunter tidak berubah, 870 tidak diniagakan dan 20 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.39 bilion saham bernilai RM958.62 bilion.

Seorang peniaga berkata saham di bursa tempatan dan di Asia kini dalam mod jualan, selari di pasaran AS.

“Ini berlaku selepas pasaran saham AS jatuh susulan tindakan Bank Pusat Eropah (ECB) menurunkan unjuran ekonominya. Pada masa yang sama perang perdagangan AS-China juga tidak akan menemui kata putus dalam tempoh terdekat,” katanya.

Huawei umum nak saman AS

Presiden Donald Trump, katanya dijangkakan mencapai perjanjian dengan China untuk merangsang pasaran saham, namun syarikat teknologi China, Huawei, baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan menyaman AS kerana menghalang agensi-agensi kerajaan daripada membeli perkakasan dan perkhidmatannya.

“Ini akan memburukkan lagi ketegangan perdagangan antara kedua-dua negara itu, yang seterusnya menjejaskan pasaran ekonomi dunia”.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.53, Public Bank susut dua sen kepada RM24.52, Tenaga turun enam sen kepada RM12.76 manakala Petronas Chemicals menokok lapan sen kepada RM9.26.

Antara saham aktif, Prestariang menambah 1.5 sen kepada 55.5 sen, Dayang Enterprise menokok 15 sen kepada RM1.55, KNM menambah satu sen kepada 11 sen, namun My EG susut dua sen kepada RM1.21.

Indeks FBM Emas merosot 20.43 mata kepada 11,762.19, Indeks FBMT 100 susut 22 mata kepada 11,614.68 manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 31.90 mata kepada 11,758.12.

Indeks FBM 70 turun 1.69 mata kepada 14,206.60, namun Indeks FBM Ace menokok 55.85 mata kepada 4,718.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 5.75 mata kepada 17,513.05, Indeks Perladangan susut 2.54 mata kepada 7,290.21, manakala Indeks Perkhidmatan dan Produk Perindustrian susut 1.37 mata kepada 169.47.

- Bernama