Skip to main
Logo Malaysiakini

Ku Li: Harap tiada keris dipegang tangan kiri

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata kerjasama Umno-PAS sebagai baik dari segi menyatukan bangsa Melayu beragama Islam.

Beliau dipetik laporan Bernama hari ini berharap kerjasama itu disandarkan pada keikhlasan serta tiada “keris dipegang tangan kiri” (tanpa niat menikam).

Katanya walaupun ada yang tidak bersetuju, beliau yakin mereka yang berkenaan boleh diyakinkan bahawa kerjasama tersebut baik untuk kedua-dua parti.

"Malah, hasil kerjasama yang ditunjukan kedua-dua parti itu telah membuktikan kemenangan di dua pilihan raya kecil iaitu Cameron Highlands dan Semenyih baru-baru ini," katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan warga peneroka di Gua Musang, beliau mengulangi pendiriannya tidak akan melompat parti dan kekal setia bersama perjuangan Umno walaupun sebagai pembangkang.

MP Gua Musang juga berkata pendiriannya itu sebagai menghormati keputusan rakyat yang memberi kemenangan kepadanya pada PRU14 lalu.

“… (saya) tidak akan menggadai maruah untuk kepentingan diri,” katanya di Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Lebir, di Gua Musang.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Mohd Syahbuddin Hashim, Adun Nenggiri Ab Aziz Yusof dan Adun Paloh Amran Ariffin.

Untuk rekod, Razaleigh pernah menubuhkan parti Semangat 46 pada 1988 dan membentuk kerjasama pembangkang dengan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang sempat bertanding dua pilihan raya umum, 1990 dan 1995.

Pada masa yang sama, Semangat 46 juga bekerjasama dengan DAP, PBS, dan PRM untuk menubuhkan Gagasan Rakyat pada pilihanraya umum 1990.

Selepas PRU9 pada 1996, parti Semangat 46 dibubarkan dan Razaleigh kembali ke pangkuan Umno.