NGO bingung DBKL batal perarakan kuil 120 tahun
Sebuah NGO hari ini menyatakan rasa terkejut dengan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memberikan kebenaran kepada perarakan pedati Kuil Sri Thandayuthapani, Sentul yang telah berlangsung selama 120 tahun.
Presiden Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat Malaysia (PAR), A Chandrakumanan berkata berasa bingung dengan keputusan DBKL.
"Dalam surat bertarikh 5 Mac, DBKL memberitahu bahawa permohonan pihak kuil untuk mengadakan perarakan pedati menjelang perayaan Hindu (Panguni Uthiram) tidak dipertimbangkan.
"Perarakan pedati ini diadakan lebih 120 tahun. Sehingga tahun lepas DBKL tidak menolak permohonan pihak kuil. Sekarang hanya satu tahun di bawah Pakatan (Harapan). Permit perarakan ditolak," katanya kepada Malaysiakini.
Tambahnya, surat DBKL juga tidak menjelaskan sebab permohonan kuil ditolak.
Untuk rekod, perayaan 'Panguni Uthiram' merupakan satu upacara agama Hindu yang disambut di Malaysia pada bulan Mac.
Salah satu kuil tertua
Kuil Sri Thandayuthapani Sentul yang merupakan salah satu kuil tertua di ibu kota mengadakan perarakan pedati menjelang perayaan 'Panguni Uthiram' sejak tahun 1899.
Bagi tahun ini, pihak kuil menjadualkan perarakan pedati pada hari Khamis 21 Mac bermula di Leboh Ampang pukul 5.30 pagi dan sampai ke kuil Sentul) pada 9 pagi, sebelum pulang dari kuil pada pukul 9 malam ke Leboh Ampang pukul 12 tengah malam.
"Walaupun, ia merupakan hari bekerja, ia bukan waktu kesesakan," katanya sambil menambah tindakan DBKL jelas mengecewakan penganut Hindu di seluruh Malaysia.
"Saya harap pihak Kementerian Wilayah Persekutuan agar segera memberi perhatian serta membenarkan perarakan pedati ini," tegasnya.
Dihubungi kemudian, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran memberitahu bahawa DBKL telah membatalkan permohonan perarakan.
"Saya diberitahu oleh pihak kuil bahawa permohonannya ditolak. Apapun saya akan membawa isu ini ke perhatian DBKL. Pada Isnin saya akan berbincang dengan Datuk Bandar untuk membincang mengenainya," kata Prabakaran.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak DBKL bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai