Skip to main
Logo Malaysiakini

Aktivis tuntut perlindungan lebih baik untuk OKU wanita

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Wanita kelainan upaya (OKU) memerlukan akses lebih baik kepada penjagaan kesihatan seksual dan reproduktif, bantuan undang-undang dan pendidikan, kata seorang aktivis hari ini.

Bercakap dalam perhimpunan hari wanita di Kuala Lumpur, anggota Harapan OKU Naziaty Mohd Yaacob menyoroti kisah wanita OKU yang menjadi mangsa penderaan seksual oleh penjaga mereka tetapi tidak mempunyai saluran untuk melaporkan kejadian berkenaan.

"Ketahuilah bahawa ramai di antara kami yang dirogol berulang kali tanpa bantuan daripada sistem keadilan. Akuilah hari ini para pelaku selalunya adalah mereka yang dikenali oleh mangsa deraan seksual dan eksploitasi.

"Mangsa kurang upaya sering bergantung kepada pelaku yang mendera mereka dan hanya mampu menjerit dalam senyap," katanya dalam ucapan yang penuh semangat.

Naziaty, yang menggunakan kerusi roda dan mengambil bahagian dalam perarakan berkenaan, menuntut perlindungan dan kemudahan yang lebih baik untuk wanita OKU sejajar dengan Akta Orang Kurang Upaya 2008.

"Sediakan maklumat kesihatan seksual dan reproduktif serta perlindungan gangguan seksual dalam format yang boleh diakses untuk wanita cacat penglihatan, pendengaran dan adik-adik yang tak bersekolah.

"Kami perlukan terjemahan bahasa isyarat dalam perkhidmatan kesihatan dan pengadilan jenayah serta pendidikan," katanya ketika ditemani juru bahasa bahasa isyarat.

Tiada lagi patriarki, perkahwinan kanak-kanak

Lebih 300 menyertai perarakan hari ini, yang bermula pada pukul 10 pagi di Kompleks Beli Belah Sogo dan berakhir di hadapan jambatan River Of Life di Dataran Merdeka kira-kira 12.30 tengah hari.

Lima tuntutan perarakan itu adalah untuk:

1) Menamatkan segala keganasan berdasarkan jantina dan orientasi seksual.

2) Menolak semua perkahwinan kanak-kanak.

3) Memastikan hak dan kebebasan wanita untuk membuat pilihan atas tubuh dan nyawa mereka sendiri.

4) Memastikan gaji minimum RM1,800.

5) Memusnahkan patriarki dan membina demokrasi tulen di semua peringkat masyarakat.

Polis, Suhakam dan Suaram memantau perarakan itu ketika para peserta melaungkan "patriarki pergi mati" , "wanita bangkit" dan "hentikan budaya rogol".

Antara isu lain yang dibangkitkan ialah keganasan rumah tangga dan hak-hak mahasiswi di universiti, wanita Orang Asli, wanita pelarian, pekerja domestik wanita, LGBTQ dan pekerja seks.