Skip to main
Logo Malaysiakini

Asyraf: Maaf kerana tuduh Nga anak buah Chin Peng, tapi...

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki meminta maaf atas dakwaannya bahawa anggota Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming adalah anak saudara kepada pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Bagaimanapun, Asyraf juga meminta anggota parlimen DAP itu meminta maaf daripadanya kerana mendakwa negara ini akan menjadi seperti Afghanistan jika pakatan Umno-PAS mendapat kuasa.

"Baiklah saya minta minta maaf kerana mengatakan YB anak saudara Chin Peng. Tapi YB juga kena minta maaf kepada seluruh rakyat kerana menggambarkan negara akan menjadi seperti Afghanistan jika Umno-PAS memerintah negara," katanya dalam respon Twitter kepada Nga.

Nga terdahulu memberi tempoh kepada selama 24 jam kepada Asyraf untuk meminta maaf.

Jumaat lalu, Timbalan Setiausaha Agung DAP itu membuat analogi bahawa Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kerjasama Umno dan PAS berjaya membentuk kerajaan.

Kenyataan itu, yang dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina, kemudiannya disiarkan oleh akhbar-akhbar berbahasa Melayu.

Ini mendorong Asyraf mengkritik Nga di Facebook, yang mengatakan komen itu menggambarkan sikap sebenar DAP yang semakin menyerlahkan sikap perkauman dan chauvinis mereka.