Kes skandal Scorpene: K'jaan sedia hulur bantuan - Chin Tong
Kerajaan Malaysia sedia menghulurkan bantuan dalam pendengaran kes yang sedang berlangsung di Perancis berkaitan skandal kapal selam Scorpene, maklum timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong.
Bercakap kepada pemberita di parlimen hari ini, Liew mengesahkan telah bertemu dengan dua peguam dari Perancis yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO) Suaram.
Peguam ini akan memfailkan satu tindakan undang-undang di Perancis berkaitan pembelian kontroversi dua buah kapal selam Scorpene oleh Malaysia pada 2002.
"Ya, mereka (peguam) datang. Kita berharap bahawa Malaysia boleh lakukan sebanyak yang mungkin untuk memudahkan kes di Perancis itu.
"Kami sedang meneliti kes-kes di mahkamah Perancis buat masa ini," katanya sambil menjelaskan beliau tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut mengenai pertemuan itu.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan dua peguam Perancis - William Bourdon yang pernah disenaraihitamkan dari memasuki negara ini sewaktu pentadbiran BN, dan rakan sejawatnya Apoline Cagnat - berada di Kuala Lumpur sejak 10 hingga 12 Februari lalu.
"Buat masa ini, kes Scorpene sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
"Jadi, ia bukan lagi dalam pemantauan kementerian pertahanan. Ia sedang dipantau oleh SPRM," katanya.
Pada Julai 2017, mahkamah Perancis mendakwa penganalisis politik Abdul Razak Baginda, iaitu individu yang rapat dengan Najib Razak.
Ketika pembelian kapal tersebut dibuat pada Jun 2002 Najib merupakan menteri pertahanan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai