Suspek buang toksik di Pasir Gudang belum dapat didakwa
Pendakwaan ke atas seorang pengusaha kilang tayar kitar semula yang dipercayai membuang sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, belum dapat dilakukan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata, pendakwaan belum dapat dilakukan berikutan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu melengkapkan kertas siasatan.
"Kertas siasatan mahkamah telah dihantar kepada pejabat timbalan pendakwa raya dan JAS diminta untuk menambah beberapa lagi maklumat untuk melengkapkan kertas siasatan tersebut.
"Pendakwaan masih belum lagi dapat dilakukan sehingga mendapatkan arahan lanjut daripada pihak timbalan pendakwa raya," katanya menerusi kenyataan, di Johor Bahru, hari ini.
Terdahulu, lebih 20 pengamal media dari pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah di Johor Bahru seawal 7 pagi tadi untuk membuat liputan mengenai pendakwaan kes tersebut.
Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memaklumkan kertas siasatan berhubung kejadian itu diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000, jika disabit kesalahan.
Jangan keruhkan keadaan
Sementara itu, Sahruddin menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan lagi isu pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, sekali gus berhenti menyebarkan berita tidak benar mengenainya.
Beliau turut meminta mereka terus berdoa supaya kejadian itu berjaya diatasi dengan baik, dan beliau sendiri akan terus bekerja untuk rakyat Johor.
"Berhentilah menangguk di air yang keruh.
"Janganlah mengeruhkan lagi keadaan dalam ujian yang kita semua kena hadapi di Pasir Gudang sekarang ini," katanya menerusi catatan dalam laman Facebook beliau, yang dimuat naik malam tadi.
Sahruddin yang juga Adun Bukit Kepong berkata beliau masih ingat kejadian banjir besar yang melanda Kelantan pada 2014 yang mana semua pihak bersatu padu sebagai rakyat Malaysia berdoa dan menghulurkan bantuan ke sana.
"Waktu itu tidak ada taruhan politik lagi. Bantuan dihulurkan tanpa mengira bendera parti. Waktu itu tidak ada PAS, Umno atau DAP.
"Semuanya bersatu atas semangat negara bangsa. Ini common sense. Semangat kemanusiaan," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai