Skip to main
Logo Malaysiakini

Sultan sumbang RM1 juta perhebat operasi menyelamat, merawat

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang.

Menerusi catatan dalam laman Facebook Sultan Johor, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah, sumbangan itu juga membolehkan agensi penyelamat serta pihak berkuasa yang terbabit dalam operasi dapat memperlengkapkan pasukan masing-masing dengan kemudahan diperlukan.

"Tuanku Sultan ada membincangkan perkara ini dengan saya sebagai Penasihat DiRaja Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan baginda juga amat tersentuh apabila mendengar sebuah klip rakaman di mana seorang lelaki menangis sambil meminta bantuan menyelamatkan anaknya.

"Tuanku Sultan turut berpendapat dengan kurniaan sumbangan peribadi baginda, ia dapat membantu pihak berkuasa serta agensi penyelamat seperti bomba dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) memperlengkapkan pasukan mereka demi membantu rakyat,” titah Permaisuri Johor kepada Royal Press Office (RPO) yang dimuat naik ke Facebook rasmi Sultan Johor di Johor Bahru, hari ini.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Sultan Johor murka dan kesal terhadap mereka yang didapati terlibat dalam kes pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sehingga memberi kesan kepada murid, pelajar sekolah serta orang awam.

Baginda mahu pihak berkuasa melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap insiden itu serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan perbuatan itu.

Pencemaran toksik sejak Khamis lalu, akibat pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang merekodkan sejumlah 506 orang dirawat dengan sembilan daripadanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI).

Berikutan itu, kesemua 111 sekolah di Pasir Gudang, diarah tutup serta-merta mulai semalam sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

- Bernama