Malaysia, S'pura gantung lanjutan sempadan bertindih
Malaysia dan Singapura bersetuju menggantung pelaksanaan lanjutan sempadan pelabuhan - yang menyebabkan berlakunya pertindihan sempadan - di Selat Johor.
Dalam satu kenyataan bersama, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatnya dari Singapura Vivian Balakrishnan berkata kedua-dua negara akan kembali kepada had pelabuhan sebelum 25 Oktober 2018.
Pada tarikh itu, Malaysia melanjutkan had pelabuhan Johor Bahru ke kawasan perairan yang sebelum itu tidak dikawal negara mahupun Singapura, berdekatan had pelabuhan republik itu.
Singapura bertindak balas pada 6 Disember dengan melanjutkan had pelabuhan ke kawasan perairan sama.
Ia manjadikan had pelabuhan kedua-dua negara bertindih.
Susulan pertemuan di Putrajaya hari ini, kedua-dua negara setuju untuk membentuk jawatankuasa bagi memulakan rundingan berkenaan penyempadanan sempadan maritim.
Rundingan akan bermula dalam masa sebulan selepas dua negara kembali ke had pelabuhan sebelumnya dan melaksanakan tiga lagi perkara.
Tiga perkara itu adalah menggantung semua kegiatan komersial dan tiada kapal kerajaan berlabuh di sana, serta kapal kedua-dua negara yang beroperasi di kawasan itu mengikut undang-undang antarabangsa.
Jika rundingan gagal, kedua-dua negara setuju dengan prosedur penyelesaian pihak ketiga antarabangsa.
Kawasan bertindih itu kira-kira 11.5km, sama seperti luas permukaan 9,200 kolam renang saiz Olimpik.
Sementara itu, peguam negara Malaysia dan Singapura akan meneruskan perbincangan berkenaan semakan semula perjanjian air 1962.
Baca: Perbalahan maritim antara Malaysia-Singapura
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai