Skip to main
Logo Malaysiakini

Kabinet lulus kampus universiti Jepun di M'sia - Maszlee

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Kabinet meluluskan penubuhan kampus cawangan universiti dari Jepun di Malaysia pada Januari lalu, maklum Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

University of Tsukuba telah memohon menubuhkan kampusnya di Malaysia, kata Maszlee dalam jawapan parlimen semalam.

Selain itu, menurut Maszlee kabinet juga meluluskan penubuhan Nippon Designer College di Malaysia.

Beliau menjawab soalan Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya) yang bertanya mengenai penubuhan istitut pengajian tinggi Jepun di Malaysia dan sekiranya terdapat rancangan menubuhkan kampus di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, jelas Maszlee perkara itu masih dalam peringkat persediaan sama ada dari segi lokasi kampus atau syarat-syaratnya sebagaimana yang dipertuntukan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

"Pendaftaran institusi pendidikan tinggi swasta ini dijangka akan dilaksanakan pada 2020," katanya.

Kenyataan menteri pendidikan ini selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyuarakan hasratnya supaya universiti Jepun menubuhkan kampusnya di negara ini, ketika lawatan rasmi ke Jepun sembilan bulan yang lalu pada Jun 2018.

Mahathir berkata kos membuka cawangan universiti lebih rendah dan rakyat Malaysia dapat belajar di institusi pendidikan Jepun itu.