Skip to main
Logo Malaysiakini

Mangsa pura-pura mati selamatkan diri dalam serangan di NZ- Laporan

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Sejak lima tahun yang lalu, Rahimi Ahmad menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand, sehinggalah kejadian serangan pengganas pelampau kanan hari ini.

Rahimi, 36 tahun yang berasal dari Pulau Pinang merupakan antara rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera dalam kejadian keganasan itu.

Laporan NST memetik sumber teman Rahimi yang enggan dinamakan berkata kecederaan yang dialami Rahimi boleh jadi lebih teruk lagi atau dia mungkin telah terkorban sekiranya tidak pantas berfikir taktiknya yang berpura-pura mati.

"Rahimi cedera tetapi dia berpura-pura macam orang mati," katanya.

Teman itu juga mengenal pasti seorang lagi mangsa yang cedera sebagai Mohd Tarmizi Shuib, 46, seorang pengendali simulator penerbangan dan bekas rakan sekelas dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Terdahulu hari ini, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington mengesahkan Tarmizi sedang mendapat rawatan di hospiral.

Anak lelaki belum ditemui

NST turut melaporkan teman Rahimi berkata Tarmizi bersama dua anaknya, Hariz dan Haziq menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Bagaimanapun, katanya Haziq anak lelaki Tarmizi masih belum ditemui lagi.

"Ketika kejadian, Tarmizi dan anak-anaknya, bersama Rahimi dan seorang lagi kawan, Nazril berada di dalam masjid.

"Mizi lari bersama Hariz tetapi dia ditembak dari belakang. Hariz selamat sekarang. Haziq pula tertinggal di belakang Nazril dan Rahimi. Kami masih belum jelas status Haziq," katanya lagi, petik NST.


BACA BERKAITAN: Serangan masjid di New Zealand: 49 terbunuh, 48 lagi parah


Angka korban tragedi serangan keganasan di Christchurch kini meningkat kepada 49 orang dengan lebih 48 lagi cedera, kata Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush pada Jumaat lapor agensi berita Xinhua.

Beliau turut mengesahkan tiga lelaki dan seorang wanita kini ditahan dan pihak polis sedang berusaha untuk menghentikan rakaman video kejadian di Masjid Al Noor yang kini tular di media sosial.

Terdahulu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata empat suspek ditahan, termasuk seorang lelaki kelahiran Australia dan percaya tiada suspek lain buat masa ini.

"Jelas ia serangan pengganas dan telah dirancang dengan amat teliti.

"Dua bom yang dipasang pada kereta berjaya dimatikan pihak polis. Tahap keselamatan di New Zealand dinaikkan ke tahap tertinggi," katanya pada sidang akhbar di Wellington.