Yuran taska: Mahal, murah tergantung tauliah pengasuh - Pengusaha
Yuran yang dikenakan oleh pengusaha pusat asuhan harian dikatakan agak mahal bagi sesetengah ibu bapa terutamanya dari golongan B40.
Kebanyakan pusat asuhan yang ditinjau di sekitar Lembah Klang meletakkan harga permulaan tidak kurang dari RM400 untuk seorang anak yang dijaga seharian untuk tempoh sebulan.
Pun begitu, sesetengah ibu bapa yang ditemu bual mempunyai reaksi yang berbeza apabila ditanyakan tentang harga yang mereka perlu bayar untuk menghantar anak-anak mereka ke tempat tersebut.
Eiffa, 38 tahun merasakan bayaran yang dikenakan oleh pusat asuhan harian anaknya adalah mahal. Dia yang menghantar tiga orang anaknya perlu membayar RM830 setiap bulan.
Tetapi, dia menyatakan bahawa pusat asuhan tersebut memberi sedikit potongan harga kepadanya kerana menghantar ketiga-tiga anaknya ke pusat tersebut.
“semasa saya menghantar anak kedua saya pada tahun 2014, harga untuk bayi di bawah satu tahun adalah RM350.
“Namun, harganya telah naik ke RM490 untuk seorang bayi," ujarnya kepada Malaysiakini.
Mahal tapi puas hati
Ada juga ibu bapa yang bersetuju dengan harga yuran yang dibayar oleh mereka.
Menurut Asmarina Kamarolzaman, 28, dia membayar RM500 sebulan untuk menghantar anaknya yang berusia dua tahun.
Menurutnya, walaupun harga yang dibayar agak mahal, dia berpuas hati dengan kualiti yang diberikan.
“Memang RM500 sebulan agak mahal. Selain itu, kami juga harus membayar RM100 kepada pusat asuhan tersebut sebagai yuran tahunan.
“Tetapi memandangkan jumlah kanak-kanak yang dijaga oleh pusat asuhan tersebut adalah sedikit, saya tidak kisah membayar lebih,” ujar eksekutif pelatih tersebut.
Seorang lagi ibu, Ezra Ibrahim berkata, kemungkinan harga pusat asuhan harian berbeza mengikut tempat.
Dia yang tinggal di kawasan USJ dan menghantar dua anaknya yang berusia lima bulan dan tiga tahun ke pusat asuhan berdekatan dengan bayaran sebanyak RM800.
“Saya menghantar anak-anak saya seawal jam 6.45 pagi dan mengambil mereka pulang sebelum jam tujuh petang setiap hari.
“Bagi saya harga yang dikenakan adalah berpatutan memandangkan pusat asuhan tidak berdaftar juga mengenakan caj hampir RM1000,” ujar eksekutif tersebut.
Syarat minimum pengasuh diploma
Mengulas isu yuran taska ini, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia Norsheila Abdullah, memberitahu Malaysiakini harga permulaan pusat asuhan sebanyak RM400 dianggap murah kerana seseorang pengasuh yang hendak diambil bekerja itu perlu melepasi syarat minimum mempunyai kelulusan diploma.
"Selain itu, pengasuh juga perlu menjalani kursus latihan PERMATA. Dia menganggap bahawa ia adalah tidak logik membayar lulusan diploma di bawah RM1000.
“Gaji minimum yang ditetapkan pada masa kini adalah RM1100, dan itu tidak termasuk potongan EPF dan SOCSO. Kalau termasuk EPF dan SOCSO, paling kurang RM1300.
“Terdapat juga sesetengah taska yang memberi kemudahahan tempat tinggal kepada para pengasuh dan insentif lain. Itu adalah salah satu faktor yang diambil kira ketika meletakkan sesuatu harga,” ujarnya kepada Malaysiakini.
Puan Norsheila juga berkata selain faktor gaji minimum, kadar sewa yang dikenakan ke atas sesebuah pusat asuhan juga menjadi faktor dalam menentukan harga.
“Kadar bagi setiap pusat asuhan juga berbeza disebabkan faktor sewa di sesetengah tempat. Jikalau di Gombak, sewanya mungkin tidak semahal seperti di Bangsar dan ini salah satu penyumbang utama kepada harga yang ditetapkan,” ujarnya lagi.
Dia berkata bahawa harga minimum yang sepatutnya dikenakan untuk pusat asuhan bertahan tanpa mengaut sebarang keuntungan sepatutnya bermula dari RM600 dan tidak kurang dari harga tersebut.
“Jika sebuah pusat asuhan dibina di sebuah syarikat misalnya, dan operator tidak perlu membayar sewa serta kos overhead ditanggung oleh syarikat terbabit, harga paling minimum adalah antara RM450 sehingga RM500,” jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai