Skip to main
Logo Malaysiakini

Abdul Fareed Presiden Badan Peguam Malaysia

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Abdul Fareed Abdul Ghafoor telah dipilih sebagai Presiden Badan Peguam Malaysia bagi penggal 2019/2020, kata sumber kepada Malaysiakini.

Peguam yang berpangkalan di Pulau Pinang itu pernah menjadi naib presiden Badan Peguam dan sebelum itu mempengerusikan Badan Peguam di Pulau Pinang.

Setiausaha kehormat, Roger Chan Weng Keng pula dipilih sebagai naib presiden yang baru.

Pengerusi Badan Peguam Perak Surindar Singh dipili sebagai bendahari badan profesional pengamal undang-undang itu, manakala pengerusi Badan Peguam Selangor Salim Bashir Bhaskaran dipilih sebagai setiausaha kehormat Badan Peguam Malaysia yang baru.

Badan Peguam Malaysia mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-73 di Dewan San Choon, Wisma MCA, di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu hari ini, The Star melaporkan AGM Badan Peguam juga dijangka membincangkan afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer yang membuat dakwaan salah laku kehakiman.

Hamid mendakwa beberapa contoh ketidakadilan kehakiman dan menuduh hakim tertentu bersubahat dengan ahli politik dan entiti swasta untuk menipu dana awam, menyebabkan kerajaan membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai perkara itu.

Presiden Badan Peguam, George Varughese juga membentangkan dua usul untuk diundi - salah satunya menyeru agar pemansuhan segera undang-undang zalim dan satu lagi menggesa supaya Jawatankuasa Reformasi Institusi kepada kerajaan didedahkan kepada awam.