Skip to main
Logo Malaysiakini

Hutan terbakar akibatkan jerebu di Pekan

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Kebakaran hutan dan belukar berhampiran ladang nanas di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pulau Serai dekat Pekan sejak enam hari lepas telah mengakibatkan keadaan jerebu di beberapa kawasan kampung sekitar.

Tinjauan Bernama mendapati antara kawasan yang teruk terjejas akibat kebakaran hutan seluas enam hektar itu ialah kawasan Peramu Jaya.

Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Peramu Ismail Abdul Latif berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran api hutan di Kampung Permatang Nangka, Pulau Serai pada 11 Mac sebelum operasi memadam kebakaran dijalankan.

"Keadaan yang semakin serius menyebabkan Pos Kawalan Bomba dibuka semalam dan seramai 45 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Peramu dikerahkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.

“Antara cabaran yang terpaksa kita hadapi ialah mengawal kebakaran yang semakin merebak akibat cuaca panas dan kering selain keadaan angin kencang yang menyebabkan api kian marak.

“Kebakaran juga sudah menghampiri kawasan rumah penduduk di sini akibat angin kuat yang membawa percikan api,” katanya ketika ditemui pemberita di Pekan.

Ismail yang juga Komandan Operasi tersebut berkata bomba terpaksa melakukan operasi pemadaman lebih agresif berikutan kebakaran itu juga sudah menghampiri tiga sekolah iaitu Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Adul Razak, Maktab Rendah Sains Mara Tun Abdul Razak dan Sekolah Kebangsaan Pulau Serai.

Setiap pegawai dan anggota, katanya terlibat dengan penugasan syif selama 24 jam berbanding 12 jam semasa peringkat awal operasi ini dilakukan.

Menurutnya, bekalan air bergantung kepada punca air dari pili bomba serta parit berhampiran dan operasi pemadaman turut dilakukan dengam menggunakan dua jentera jenis Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah ‘water tanker’, sebuah pacuan empat roda serta dua buah jengkaut (JCB) milik Majlis Daerah Pekan (MDP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan.

"Pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan setakat ini kita belum dapat memastikan bila kebakaran ini dapat dipadam sepenuhnya," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan pembakaran terbuka pada musim panas dan berangin ini serta peka dengan keadaan sekeliling kerana kecuaian boleh menyumbang kepada kebakaran yang lebih besar.

Ismail berkata kebakaran semak samun serta kawasan hutan memang sering berlaku di daerah ini dan selain disebabkan oleh cuaca panas, ia juga berpunca daripada sikap orang ramai yang suka melakukan pembakaran terbuka.

- Bernama