Skip to main
Logo Malaysiakini

Ciapan 'tembak puak-puak DAP' - polis siasat Razlan esok

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Bekas ketua pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii memaklumkan bahawa dia akan disoal siasat oleh pihak polis esok berhubung ciapannya di Twitter agar ahli-ahli DAP ‘ditembak’.

“Saya diminta untuk hadir di Bukit Aman berkenaan dengan ciapan saya tempoh hari.

“Pihak polis telah membuka kertas siasatan dan akan soal siasat pada Rabu, jam 10.00 pagi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razlan akan disiasat bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA).

Seksyen 505(C) adalah berkaitan dengan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, dengan niat menyebabkan ketakutan, atau mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Manakala Seksyen 233 CMA pula berkaitan dengan penyalahgunaan talian internet yang membawa hukuman sehingga RM50,000 atau hukuman penjaran sehingga setahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Razlan pada Jumaat lalu mengulas ciapan Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi yang mendakwa pemimpin DAP semakin kurang ajar dan melampau apabila mengaitkan insiden serangan beberapa masjid di Christchurch, New Zealand dengan penyatuan PAS-Umno.