Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelantan mohon dana RM15 juta bina tebatan banjir

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

DUN KELANTAN l Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan telah memohon peruntukan sebanyak RM15 juta daripada kerajaan persekutuan bagi melaksanakan projek tebatan banjir di Pasir Puteh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti negeri Datuk Azami Mohd Nor berkata peruntukan berkenaan bagi membina tebatan banjir di Kampung Temila, Kampung Pulau Sa, Kampung Gong Chapa dan Kampung Gong Pok Ndor.

"Selain itu, JPS Kelantan juga sentiasa mengadakan mesyuarat secara berkala dengan agensi berkaitan serta pimpinan masyarakat setempat supaya langkah-langkah yang perlu dapat diambil," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Rodzi Jaafar (PAS-Gaal) yang mahu tahu langkah yang telah dan akan diambil oleh kerajaan negeri untuk mengatasi banjir di empat kampung tersebut.

Sementara itu, Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) dalam soalan tambahannya ingin tahu mengenai langkah yang diambil oleh kerajaan negeri dalam memastikan ban atau batas yang dibina Sungai Kelantan tidak diceroboh oleh pengusaha pasir bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik ketika musim tengkujuh.

Katanya ketika beliau menjadi Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), agensi tersebut memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi 'menampal' kembali ban yang diceroboh oleh pengusaha pasir bagi mendapatkan bahan tersebut dengan cara yang mudah.

Azami, dalam jawapannya berkata beliau bersama pegawai JPS Kelantan serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan telah mengenal pasti beberapa pengusaha pasir di kawasan tersebut dan akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut.

- Bernama