Gelombang haba: 30 kawasan di Semenanjung tahap berjaga-jaga
Sebanyak 30 kawasan di Semenanjung dilaporkan berada pada paras berjaga-jaga atau Tahap 1 dengan suhu mencecah antara 35 dan 37 darjah Celcius hari ini berbanding 23 kawasan semalam.
Berdasarkan kemas kini Jabatan Meterologi Malaysia (MET) setakat pukul 4.45 petang tadi, jumlah itu menunjukkan lapan kawasan baru iaitu Pulau Langkawi (Kedah), Bayan Lepas (Pulau Pinang), Kuala Krai (Kelantan), Selama dan Manjung (Perak), Jempol (Negeri Sembilan), serta Alor Gajah dan Melaka Tengah (Melaka).
Sementara itu, Chuping di Perlis; Sik, Baling dan Kulim (Kedah); Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Batang Padang (Perak); Jerantut, Raub, Temerloh, Maran dan Bentong (Pahang); Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sepang, Klang dan Petaling (Selangor); Rembau dan Jelebu di Negeri Sembilan; Tangkak di Johor dan Kuala Lumpur kekal di Tahap 1.
Pendang, Kedah kekal pada tahap dua (tahap gelombang haba) iaitu dengan suhu mencecah antara 37 dan 40 darjah Celcius sejak kelmarin (17 Mac).
Port Dickson yang mencatat suhu maksimum kurang 35 darjah Celcius semalam dilaporkan kembali ke Tahap 1 (berjaga-jaga) hari ini.
Sementara itu, Sabah dan Sarawak pula mencatatkan suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah Celcius.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai