Skip to main
Logo Malaysiakini

Kontrak UKSB urus visa dalam talian belum tamat - Muhyiddin

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kontrak Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) mengendalikan urusan pengeluaran "Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI)" untuk tempoh 15 hari masih belum ditamatkan perkhidmatannya, maklum Menteri Dalam Negeri  Muhyiddin Yassin, 

Untuk rekod, eNTRI adalah kemudahan pendaftaran atas talian Visa Luar Negara (VLN) yang disediakan kerajaan Malaysia untuk memudahkan kemasukan warga China dan India masuk ke negara ini dan mereka mempunyai pilihan untuk memohon Visa Elektronik (eVisa) untuk tinggal lebih lama dalam tempoh 30 hari di Malaysia.

"Setahu saya UKSB masih meneruskan perkhidmatan kerana kontrak yang lama belum ditamatkan.

"Ada siasatan sedang dibuat pihak tertentu untuk meneliti pelaksanaan projek itu dan isu lain yang berkaitan sehingga ada keputusan muktamad sama ada syarikat berkenaan melanggari atau melakukan apa-apa kesalahan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke-229 di Maktab Penjara Malaysia di Kajang, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Muhyiddin berkata, perkhidmatan syarikat itu akan tetap diteruskan selagi belum ada keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya.

Malah katanya, jika operasi syarikat berkenaan digantung ketika ini, mereka bukan saja boleh mengambil tindakan balas terhadap kerajaan, malah merencatkan kemasukan pelancong China ke Malaysia.

Tak tepati matlamat sistem saringan awal

Pada November 2018, Harian Metro melaporkan dakwaan mengenai kelemahan sistem dalam talian permohonan VLN yang dikendalikan syarikat UKSB untuk kemasukan warga China ke Malaysia.

Harian Metro memetik sumber dan penelitian wartawannya yang berada di Guangzhou, China selama beberapa hari untuk memperoleh maklumat lebih terperinci.

Laporan itu mendapati kemudahan eNTRI untuk rakyat China memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari tidak menepati matlamatnya sebagai satu sistem saringan awal, sebagaimana yang dimaklumkan.

Borang kemasukan atau tapisan awal diberi dengan mudah tanpa mengambil kira foto, alamat dan tujuan lawatan, kata laporan itu lagi.

Menurut Harian Metro lagi, kemudahan itu memberi keuntungan kepada UKSB yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menguruskan sistem berkenaan pada 2016 sehingga sekarang.

Untuk memiliki eNTRI pelancong China perlu membayar wang pemprosesan atau fi sebanyak RMB160 (RM100) bagi setiap permohonan yang hanya boleh dibuat melalui laman web www.windowmalaysia.my.

Sejak eNTRI diperkenalkan pada Mac 2016 hingga September 2018, UKSB sudah mengutip lebih RMB329,337,280 (RM198,066,952) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang.

UKSB dipetik laporan media pada 22 November menjelaskan pihaknya hanya boleh melakukan silang semak Senarai Suspek Imigresen setiap permohonan yang masuk tetapi tidak mempunyai akses terperinci kepada pangkalan data.

"Pangkalan data adalah maklumat keselamatan tinggi dan ia berada di bawah bidang Imigresen.

“Selanjutnya, terpulang kepada Imigresen untuk menolak atau meluluskan permohonan itu,” kata Pengarah Urusannya, Fadzil Ahmad.