Skip to main
Logo Malaysiakini

Mujahid bawa sumbangan RM174k pada mangsa tragedi masjid NZ

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa akan menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia berjumlah RM174,000 kepada mangsa tragedi tembakan dan kedua-dua masjid di New Zealand yang menjadi lokasi kejadian tembakan minggu lepas.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke New Zealand hari ini, beliau berkata sumbangan berkenaan daripada agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri serta sebuah kumpulan media.

Mujahid berkata beliau diminta untuk ke New Zealand bagi mewakili kerajaan Malaysia setelah rakyat Malaysia Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, disahkan antara 50 mangsa yang terbunuh dalam tragedi penembakan di Christchurch, Jumaat lepas.

Semasa di New Zealand, katanya beliau akan menziarahi keluarga Allahyarham dan mangsa rakyat Malaysia yang lain.

“Saya juga akan uruskan apa-apa hal melibatkan kerajaan Malaysia selain melawat dua masjid yang menjadi lokasi kejadian,” katanya lagi.

Ditanya mengenai masa yang lama diambil untuk mengesahkan Muhammad Haziq terkorban, Mujahid berkata pengecaman dilakukan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Mujahid turut meminta semua masjid di seluruh negara mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham selepas solat Jumaat esok.

Kementerian Luar hari ini mengesahkan Muhammad Haziq, 17, merupakan antara 50 mangsa yang terbunuh dalam tragedi penembakan di Christchurch, Jumaat lepas.

Laporan media menyebut jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di New Zealand pada 12 tengah hari waktu Malaysia, Khamis.

Bapa Muhammad Haziq, Mohd Tarmizi Shuib cedera dalam serangan itu. Turut cedera ialah dua lagi rakyat Malaysia iaitu Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

- Bernama