Skip to main
Logo Malaysiakini

Michael Garing jalani hukuman gantung pagi ini

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Rakyat Malaysia Michael anak Garing telah menjalani hukuman gantung di penjara Changi di Singapura pada pagi ini.

Bernama melaporkan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di republik itu memaklumkan mengenai perkara berkenaan.

"Jenazahnya dijangka tiba di Lapangan Terbang Sibu esok sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Kapit. Kami sedang membantu anggota keluarga Michael yang berada di sini," kata jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Malaysia kepada agensi berita nasional.

Michael, anak kelahiran Sarawak dijatuhkan hukuman itu selepas disabitkan atas kesalahan membunuh oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 2015 dan sabitan berkenaan disahkan Mahkamah Rayuan pada 2017.

Menurut Straits Times, Michael terlibat dalam rompakan yang menyebabkan seorang terbunuh dan tiga cedera parah di Kallang, Singapura, pada 2010.

Seorang lagi suspek, Tony Imba, dipenjara seumur hidup.

Terdahulu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan berusaha untuk menyelamatkan lelaki berusia 30 tahun itu, manakala Menteri Undang-undang Liew Vui Keong telah mengutus surat ke negara itu.

Keluarga Michael Garing pula memfailkan petisyen rayuan segera kepada presiden republik itu Halimah Yacob.

Penasihat Lawyers for Liberty N Surendran berkata petisyen bertarikh 19 Mac lalu itu dihantar secara terus oleh abang dan ibu bapa Michael di Istana - kediaman rasmi presiden Singapura.

Tahun lalu, seorang lagi warga Malaysia, Prabu N Pathmanathan, dijatuhkan hukuman mati.

Prabu juga menjalani hukuman mati di penjara Changi pada Oktober 2018.

Dia disabitkan kesalahan menyeludup masuk 227.82 g diamorfin atau heroin ke Singapura pada 2014.