Skip to main
Logo Malaysiakini

Jabatan Kebajikan Masyarakat kesan ibu bapa 8 kanak-kanak

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)​​​​​ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meminta kerjasama orang ramai mengesan ibu bapa kandung atau waris kepada lapan kanak-kanak.

JKM menerusi satu kenyataan hari ini, berkata bagi kes pertama, jabatan mencari waris Danial Fazreen, 7, yang diserahkan kepada pasangan suami isteri bernama Januar dan isterinya Leliani Gultom ketika berusia bawah sebulan di sebuah rumah di Selayang Mansion dekat sini pada 13 Jan 2013.

"Sementara bagi kes kedua, JKM ingin mengesan Jamilah Abd Rahman, 45, ibu kepada Marita Ringgi, 12, bagi melengkapkan prosedur penyerahan anaknya kepada sepasang suami isteri pada Disember 2017, sekali gus memudahkan urusan persekolahan kanak-kanak tersebut," menurut kenyataan itu.

Bagi kes ketiga dan keempat, JKM ingin mengesan wanita bernama Omas Rausin, 56, ibu kepada Marfarah, 11, dan Marfadilah, 12, bagi tujuan melengkapkan Akuan Berkanun penyerahan adik beradik tersebut kepada pasangan suami isteri, Ali dan Naizita.

JKM turut meminta Nur Iela Sulam, ibu kandung kepada Rezela Halimi, 7, yang dikatakan melarikan diri ketika kanak-kanak tersebut berusia tiga tahun untuk tampil menghubungi JKM bagi membantu pendaftaran sijil kelahiran Rezela.

Rezela dilahirkan di Klinik Mesra Pinggiran Batu Caves, Selangor dan kini dijaga bapa kandungnya, Suhaimi Anja.

Bagi kes keenam, jabatan itu mencari ibu bapa kandung Nur Zubella, 11, Hassan Othman dan Syarifah Nasriah Said Nasir yang menyerahkan anak mereka kepada pasangan suami isteri, Ibrahim Harmain Shah dan Wan Bahariah Dalilah Abd Latif di Gerai Medan Selera Batu, Jalan Ipoh pada April 2011.

Selain itu, jabatan berkenaan juga ingin mengesan waris kepada Baby Ferlini Abdullah, 12, yang diserahkan ibu kandungnya Faridah Hassan kepada pasangan suami isteri Abd Gani Ja’apar dan Janette Kaur a/p Rajindar Singh @ Jamilah Binti Abdullah pada 12 Sept 2006 di Hospital Kajang, Selangor.

"Ia bagi urusan membuat kad pengenalan dan urusan persekolahan kanak-kanak itu kerana tidak mempunyai dokumen penyerahan yang sah," katanya.

Bagi kes terakhir, JKM ingin mengesan waris kepada kanak-kanak berusia 1 tahun lima bulan, Alyssa Ng yang dijumpai dalam sebuah bilik di Flat Mutiara Magna, Jalan Metro Prima Kepong sekitar 9 malam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung waris kepada kesemua kanak-kanak berkenaan supaya menghubungi Pelindung JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Siti Sarah Khairul Anuar atau Hazzariza Napiah di talian 03-26124000/ 4040/4121.

- Bernama