Skip to main
Logo Malaysiakini

Musa: Akta Hasutan bagi pastikan rakyat bersatu

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Bekas ketua polis negara, Musa Hassan menyifatkan Akta Hasutan 1948 sebagai alat penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini yang perlu dikekalkan bagi menjamin keharmonian negara.

Justeru, katanya, pihak polis masih boleh menggunakan akta berkenaan untuk menyiasat tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara, termasuklah tindakan menghina.

"Menteri Dalam Negeri kata Akta Hasutan masih ada dan pihak polis masih boleh menggunakan akta berkenaan untuk menjalankan siasatan ataupun sebarang tindakan.

"Dalam situasi negara sekarang penting adanya Akta Hasutan untuk pastikan semua kaum bersatu, tidak ada hina-menghina antara satu sama lain, kita bukannya mahu bergaduh.

"Penting, semua ini perlu ada (Akta Hasutan)," katanya ketika ditemui selepas sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 20 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin menegaskan Akta Hasutan 1948 masih wujud dan boleh diguna pakai sehinggalah ia dibentangkan di parlimen untuk dimansuhkan.

Bagaimanapun kata Muhyiddin, penggunaan akta berkenaan bergantung kepada keperluan dan kebijaksanaan pihak berkuasa dalam menangani sesuatu isu kritikal.

"Dari sudut undang-undang selagi belum dihapuskan akta itu masih ada. Selagi belum dibawa ke parlimen untuk dihapuskan," kata Muhyiddin.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong melarang pihak polis menggunakan Akta Hasutan yang akan dimansuhkan.

Liew berkata demikian ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak menggunakan Akta Hasutan 1948 bagi menjalankan penahanan terhadap mana-mana individu di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai keperluan untuk mengekalkan akta berkenaan sama ada relevan ataupun tidak.

Musa berkata, akta berkenaan sewajarnya dikekalkan jika melihat situasi negara ketika ini pelbagai kenyataan berunsur penghinaan terhadap agama dan kaum serta penghinaan terhadap raja lontarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Sememangnya ada keperluan untuk dikekalkan akta ini, kalau kita tengok banyak kenyataan-kenyataan yang dibuat ada menghasut untuk benci membenci antara satu sama lain," katanya.