PM: K'jaan tolak nilai 'aneh', ambil nilai baik saja dalam triti PBB
Di tengah-tengah kritikan terhadap penyertaan kerajaan dalam Statut Rom dan usaha meratifikasi Icerd sebelum itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajan hanya akan mengambil aspek "baik" dalam setiap triti antarabangsa.
Beliau juga berkata nilai-nilai "aneh" yang terkandung dalam triti antrabangsa itu akan ditolak.
"Kami mahu ratifikasi, (tetapi) tertakluk kepada syarat kita," katanya ketika sidang media selepas pelancancaran kempen "Love MY Palm Oil" di Pulau Carey, Selangor hari ini.
"Di negara ini, ada beberapa perkara yang mereka mahu lakukan bawah Statut Rom, yang tidak boleh dilakukan di negara ini. Misalnya, Statut Rom beri kebebasan sepenuhnya untuk sesiapa membuat bermacam perkara.
"Kini ada lelaki kahwin lelaki, perempuan kahwin perempuan. Saya tak tahu apa mereka buat apabila berkahwin, tetapi mereka orang yang aneh (funny). Kita tak terima, kita hanya terima (nilai) yang bagus," katanya lagi.
Statut Rom adalah perjanjian antarabangsa yang mewujudkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang membicarakan empat jenayah antarabangsa utama - penghapusan etnik, jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.
Manakala contoh yang dipetik Mahathir - misalnya perkahwinan sama jantina - biasanya dibangkitkan mereka yang membantah Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).
Dalam titah ucapan sempena hari keputeraannya semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mendakwa kerajaan melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan dengan menandatangani Statut Rom.
Baginda mendakwa statut itu serta Icerd telah menyentuh kuasa raja-raja, keistimewaan orang Melayu serta kemuliaan agama Islam.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai