Skip to main
Logo Malaysiakini

Kini masanya pandang ke timur

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN l Pada sidang media semasa lawatan kerja ke Pakistan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad berkata bahawa dunia Islam terlalu bergantung kepada negara-negara barat.

Kebergantungan ini telah mengurangkan keupayaan dunia Islam untuk bersuara dalam isu-isu tertentu.

Islam bukan berasaskan keamanan semata-mata; ia juga berasaskan keupayaan menyatakan kebenaran kepada mereka yang berkuasa (‘speaking truth to power’). Keberanian itu bukan melibatkan meletupkan diri kerana kecewa atau geram, tetapi memberdayakan diri sendiri secara pintar.

Dalam abad yang lepas sahaja, dunia Islam telah dipisahkan ke lebih daripada 50 negara yang bermajoriti Islam. Walaupun negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melibatkan lebih dari satu suku negara-negara di dunia, jumlah Keluaran Negara Kasar (KNK) negara-negara ini kurang daripada 5 peratus jumlah KNK dunia.

Ini hampir sama dengan tahap China dalam 1970an sebelum reformasi ekonominya. Sejak itu, GDP China telah meningkat sehingga menjadi hampir 30 peratus KNK dunia.

Kalau penghasilan minyak dan gas tidak diambil kira, KNK negara-negara OIC mungkin tidak sampai 2 peratus daripada KNK total sedunia.

Ada sesuatu yang tak kena dengan negara-negara OIC. Mereka tidak belajar apa-apa yang baru atau dinamik.

Dunia Islam semakin keliru

Oxford Centre for Islamic Studies, contohnya, lebih berprestij jika dibandingkan dengan institusi-institusi serupa di Istanbul atau Kuala Lumpur.

Walaupun OIC ditubuhkan pada Sept 25, 1969, selepas seorang warga Australia menceroboh Masjid Al-Aqsa untuk menembak beberapa umat Islam, perpaduan dan tekad dunia Islam, seperti yang diwakili oleh OIC, berada pada tahap yang agak rendah.

Negara-negara OIC tidak belajar daripada negara-negara barat, tetapi hanya bergantung kepada mereka. Mereka juga tidak belajar apa-apa daripada negara-negara timur, seperti Jepun.

Lebih penting lagi, dunia Islam, yang dibahagikan kepada beberapa negara bangsa, belum pasti sama ada mereka betul-betul ingin mendukung demokrasi. Tanpa demokrasi dan asas-asas masyarakat terbuka (open society), bagaimana negara-negara Islam mampu berdiri tinggi di mata dunia? Dalam hal ini, pandangan Dr Mahathir cukup tepat.

Akibat gagal menjawab soalan-soalan asas berkenaan demokrasi, dunia Islam semakin keliru. Ada beberapa implikasi penting berikutan ini.

Apabila lebih sejuta umat Islam Uyghur ditahan di China - perkara yang tak pernah dilihat sejak Perang Dunia Kedua - kesenyapan dunia Islam, kecuali Turki dan sedikit sebanyak Malaysia, cukup mengejutkan.

Ia seolah-olah negara-negara Islam tidak tahu bahawa pusat-pusat ‘pendidikan semula’ ini boleh jadi kem kematian. Cendiakawan Perancis Louis Althusser pernah mengatakan bahawa keganasan struktural dan simbolik sebegini tidak boleh dipandang remeh; ia boleh dan akan membawa kepada pembunuhan di tangan kerajaan.

OIC institusi yang gagal

Penahanan ini boleh menjadi kelam kabut, mengakibatkan hukuman serta pembunuhan beribu-ribu umat Islam Uyghur yang tidak bersalah, walapun Beijing kata mereka hanya ingin ‘mendidik semula’ mereka - dengan Islam yang diubahsuai untuk mengikut haluan Komunis.

Sebagaimana dunia Islam lemah terhadap China, mereka juga lemah terhadap negara-negara barat, akibat tidak memandang ke timur. Jepun, Taiwan, dan Korea Selatan semua berjaya memajukan diri mereka dalam bidang sains dan teknologi. Korea Selatan kurang maju daripada Malaysia dalam tahun 1980an. Sekarang mereka jauh lebih maju. Mengapa?

Kenapa negara-negara Islam tidak mahu belajar daripada mereka? China pun boleh diteladani, tanpa mengikut ciri-ciri autoritarianisme. Hakikatnya, dunia Islam kelihatan lemah.

Negara-negara OIC dilihat semakin tidak tersusun dan kelam kabut, di dalam dan di luar. Dari beberapa segi, OIC ini adalah satu institusi yang gagal, yang bertemu untuk menghayati kambing dan baklava sahaja.

Malahan, jika pengundi Malaysia tidak menolak kleptokrasi bekas perdana menteri Najib Razak pada 9 Mei 2018, Malaysia juga akan menjadi kleptokrasi dan kakistokrasinya sendiri.

Untuk memulihkan kelemahan dunia Islam, negara-negara Islam mesti mencontohi amalan terbaik Jepun dan negara-negara Asia yang lain.

Murah hati

Dasar belajar dari Jepun sahaja akan mengubah secara terperinci trajektori dunia Islam, menjadikannya lebih beretika, jujur dan berhormat, dan ini semua adalah asas masyarakat dan demokrasi yang sihat.

Dalam keadaan semasa, Jepun merupakan negara yang masyarakatnya menerima sains dan demokrasi dengan hati yang terbuka. Jepun bukan satu negara yang sempurna, tetapi ia telah mencapai kemajuan yang cukup tinggi, dan cukup murah hati dalam berkongsi ilmu pengetahuan dan sumber-sumber.

Namun, kecuali Malaysia, hampir tidak ada negara Islam yang cuba mengejar Jepun sejak dari zaman pra-moden, moden ataupun zaman kini, melalui dasar pandang ke timur. Malaysia telah memulakan program itu sekali lagi, demi memupuk kecerdasan yang tajam, kesihatan yang unggul dan kesantunan yang tinggi dalam kalangan warganya.

Tidak mungkin negara-negara Islam boleh bangkit, atau bersuara, sekiranya mereka tidak mengambil langkah pertama untuk belajar dari Jepun dan negara-negara Asia yang lain, dan sejajar dengan itu menentang kezaliman yang dilakukan terhadap umat Islam Uyghur oleh China.


DR RAIS HUSSIN merupakan presiden dan CEO EMIR Research, sebuah badan pemikir yang berfokuskan penyelidikan polisi berteraskan data, ditunjangi nilai-nilai konsultasi, kesederhanaan, inovasi dan kerapian.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.