Skip to main
Logo Malaysiakini

Kekecohan depan UM: Polis serah kertas siasatan ke AGC esok

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun mengesahkan pihak polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat peguam negara esok sebelum meneruskan tindakan lanjutan berhubung pergelutan antara penyokong bekas perdana menteri Najib Razak dengan pelajar Universiti Malaya pada 22 Mac yang lalu.

Fuzi turut berkata setakat ini pihak polis telah mengambil keterangan daripada 26 individu.

"Sudah 26 keterangan telah diambil. Kami akan hantar kertas siasatan ke pejabat peguam negara esok," katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Peringatan Hari Polis ke-212 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

"Tindakan sedang diambil. Jadi, kami akan ambil tindakan ekoran arahan daripada DPP (Timbalan Pendakwa Raya) nanti," jelas beliau.

Fuzi berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai status terkini siasatan berkenaan kekecohan di hadapan Retoran Amjal, di pintu masuk Universiti Malaya itu.

Plakad menyindir Najib

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh mempersoalkan kenapa masih tiada sebarang tangkapan dibuat berkenaan kejadian pergelutan tersebut.

"Kenapa hingga sekarang tiada siapa ditangkap di UM? Adakah mereka pelarian seperti Jho Low?" Soal Ram di Dewan Rakyat pagi tadi.

Dalam insiden tersebut, pergelutan berlaku antara pelajar terbabit dengan penyokong Najib ketika Najib sedang berucap di Restoran Amjal.

Pelajar tersebut memegang plakad mengandungi slogan "penipu" dan "mana RM2.6 bilion", serta gambar badut yang menyindir Najib.

Susulan itu, penyokong Najib menghampiri mereka dan mengoyakkan plakad yang dipegang pelajar dan seterusnya berlaku pergelutan dan sentuhan fizikal.

Presiden Persatuan Beliau Baru Universiti Malaya (Umany) Wong Yan Ke dilihat dicekik dari belakang dan ditarik rambutnya sebelum dikerumuni beberapa individu lain.

Selain itu, dua pelatih Malaysiakini turut cuba diserang oleh penyokong Najib dalam insiden tersebut.

Kedua wartawan pelatih tersebut ditugaskan membuat liputan acara Sembang Santai bersama bekas perdana menteri Najib Razak yang kemudiannya menyaksikan berlakunya kejadian pergelutan tersebut.

Kedua-dua orang pemimpin Umno berkenaan dilaporkan melemparkan kata-kata kesat dan menganggu kedua wartawan pelatih Malaysiakini kerana kurang senang dengan laporan portal tersebut tentang insiden pergelutan yang berlaku.