Skip to main
Logo Malaysiakini

Jururawat Cik Miera tak dipanggil beri keterangan - Peguam keluarga Adib

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

INKUES | Keluarga allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tidak akan meminta seorang wanita yang mengaku jururawat di Institut Jantung Negara (IJN) untuk memberi keterangan pada inkues yang sedang berlangsung bagi mengenal pasti punca kematian anggota bomba itu, kata peguam Kamaruzaman A Wahab.

Kamaruzaman yang mewakili keluarga allahyarham Adib memberitahu Malaysiakini, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Cik Miera, tidak mempunyai kepakaran yang mencukupi di dalam forensik bagi membantu Mahkamah Koroner untuk menentukan bagaimana Adib mendapat kecederaannya ketika rusuhan di kuil Seafield Sri Maha Mariamman pada 27 November tahun lalu.

Peguam itu mengulas hantaran viral di media sosial yang dibuat jururawat berkenaan - dan telah pun ditarik balik - yang membantah keterangan pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Jumaat lepas, Ahmad memberitahu inkues kecederaan anggota bomba tersebut mungkin disebabkan kesan hentakan kenderaan yang melanggarnya berbanding dipukul.

Saksi pakar luar HKL

Kamaruzaman berkata pengetahuan jururawat itu tidak "mendalam dan lengkap" seperti pakar forensik.

"Walaupun kami tidak bersetuju dengan keterangan (oleh Ahmad), tidak wajar untuk bergantung pada pengakuan jururawat itu (untuk menentang keterangan Ahmad).

"Sekalipun kami ingin melawan (membantah kesaksian itu), kami lebih suka merujuknya daripada ahli forensik lain.

"Kami membincangkan kemungkinan untuk memanggil seorang saksi pakar dari luar HKL. Tetapi pada masa yang sama, mari kita dengar terlebih dahulu (lanjutan keterangan Ahmad)," jelasnya.

Ahmad dijadualkan untuk menyambung kesaksiannya di hadapan Koroner Rofiah Mohamad di mahkamah di Shah Alam esok.

Semalam, Anggota Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad membuat laporan polis terhadap Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam yang didakwa memfitnahnya berhubung kes anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Noor Amin berkata Lokman melalui laman Facebooknya semalam memfitnahnya konon beliau mengugut seorang jururawat yang bertugas di Institut Jantung Negara (IJN) dikenali sebagai Cik Miera, yang mendedahkan keadaan sebenar Muhammad Adib.

Individu yang dikenali sebagai Miera itu mendakwa anggota bomba itu sebenarnya dipukul, sekali gus menafikan keterangan pakar forensik dalam inkues yang menyatakan kecederaan dialaminya tidak menunjukkan seperti arwah dipukul.

Noor Amin, yang juga ketua Cabang PKR Kangar, berkata beliau menghantar mesej kepada Miera memintanya tampil menjadi saksi pada inkues Muhamad Adib selepas gadis itu mengeluarkan kenyataan di laman sosial bahawa anggota bomba itu telah dipukul.

[Baca berita penuh]