Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahfuz: Tahniah, Umno berjaya didik Hadi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar mengucapkan tahniah kepada Umno kerana "berjaya mendidik" Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk "menakut-nakutkan" rakyat.

Beliau berkata demikian apabila mengulas mengenai dakwaan Abdul Hadi bahawa terdapat pemimpin Amanah yang mengatakan mereka seperti menjadi alat kepada DAP dalam PH.

"Saya nak ucapkan tahniah kepada Umno yang telah berjaya melakukan satu proses perubahan berjaya mendidik Presiden PAS untuk jadikan isu DAP itu sebagai isu yang menakutkan semua orang," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Abdul Hadi sebelum ini berkata DAP tidak pernah berhenti berusaha mencari jalan mengekang pengaruh PAS kerana agenda parti itu adalah untuk menyekat kemaraan Islam di negara ini.

Kata Abdul Hadi lagi, Amanah diwujudkan semata-mata untuk menjadi alat kepada strategi DAP yang mahu menyekat pengaruh dan peluang PAS pada PRU-14.

Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata dakwaan sedemikian telah lapuk kerana ia jelas menunjukkan pemikiran PAS masih terkebelakang.

"Tahniah kepada Umno kerana berjaya mendidik Presiden PAS dan tahniah kepada Presiden PAS yang begitu wala' kepada Umno.

"Tapi dia nak kata DAP ni bahaya, komunis dan sebagainya. Tapi Umno yang dia kawan tu juga ada hubungan dengan parti komunis di negara China," katanya lagi.