Skip to main
Logo Malaysiakini

Belum ada keputusan model PDP projek Lebuhraya Pan Borneo

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PARLIMEN l Kerajaan belum membuat keputusan muktamad berhubung cadangan penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata pelaksanaan model projek itu sedang dinilai dan disemak semula daripada pelbagai aspek terutama melibatkan had keupayaan kewangan kerajaan.

"Ini bagi memastikan setiap peruntukan kerajaan itu dapat dioptimumkan sebaik mungkin dan dalam masa sama, tidak mengganggu kelancaran pelaksanaan projek terlibat," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang mahu tahu status pelan kerajaan untuk menukar PDP kepada 'turnkey contractor' untuk projek Pan Borneo.

Baru berkata penentuan mengenai hala tuju pelaksanaan lebuh raya itu akan diumum sebaik sahaja kerajaan selesai meneliti dan menimbang mekanisme terbaik berhubung penjimatan yang bakal diperoleh daripada projek itu.

Beliau menegaskan sebarang keputusan yang bakal diambil kerajaan tidak akan melibatkan penamatan projek Pan Borneo yang amat dinantikan rakyat Sabah dan Sarawak.

Ditanya Hasbi Habibollah (GPS-Limbang) mengenai kesan kepada kerajaan dari segi bayaran ganti rugi jika model PDP ditamatkan, Baru berkata perkara itu adalah pramatang kerana kerajaan belum membuat sebarang keputusan muktamad.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi projek di negeri Sarawak, perjanjian PDP telah ditandatangani bersama syarikat Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd pada 30 Jun 2015 dengan kos pembinaan berjumlah RM16.48 bilion.

Beliau berkata bagi projek Pan Borneo di Sabah pula, perjanjian PDP ditandatangani bersama syarikat Borneo Highway PDP Sdn Bhd pada 11 April 2016 dengan kos pembinaan sebanyak RM12.86 bilion.

"Kedua-dua perjanjian ini antara lain telah menetapkan bahawa pihak PDP yang berkenaan itu perlu menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo mengikut kos, spesifikasi, dan tempoh masa yang telah ditetapkan iaitu masing-masing pada 30 Jun 2021 bagi Sarawak dan 31 Dis 2021 (Sabah)," katanya.

Beliau berkata kemajuan keseluruhan bagi projek Pan Borneo di Sarawak pada masa ini ialah 38 peratus manakala Sabah 12 peratus.

- Bernama