Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri: Pihak kecam kereta terbang boleh naik kereta buluh

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Pihak yang mengecam rekabentuk model kereta terbang boleh memilih untuk terus ketinggalan dari segi teknologi, kata Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof.

Redzuan berkata demikian sebagai mengulas kecaman warganet selepas model kereta terbang itu dipamerkan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (Lima ’19) semalam.

"Itu biasa (kecaman). Itu sebab kita kena lebih fokus kepada pembangunan modal insan dan lebih memberikan pembelajaran ilmu kepada isu ini kita tidak mahu masyarakat tertinggal ke belakang.

"Sebenarnya anak muda sudah jauh kehadapan dan setara dengan orang yang merekacipta di peringkat antarabangsa.

"Mereka boleh pilih sama ada nak terus di belakang menafikan perkara itu. Mereka boleh naik kereta buat daripada buluh," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu juga menjelaskan model rekabentuk kereta terbang itu bukanlah sebuah prototaip, sebaliknya prototaip sebenar sedang dibina di Jepun.

"Prototaip itu sedang dibina, apa yang kita lihat semalam di LIMA’19 itu cuma ‘scale down model’, prototaip itu sedang dibina di Jepun oleh rakyat Malaysia.

"Bentuknya bukan begitu, kenapa awak ingat guna kipas (jenama) KDK ke? Tak," katanya.

Mengulas lanjut mengenai prototaip yang sedang dibina itu, Redzuan berkata peruntukan prototaip kereta terbang itu tidak menggunakan peruntukan kerajaan.

"Kereta terbang ini InsyAllah akan disiapkan hujung tahun ini bukan penggunaan awam, kita guna dari segi penggunaan pengangkutan kecemasan (emergency response), hantar barang keperluan penting, bantuan kecemasan,” katanya.

Dikenali sebagai Vector, penampilan sulung kenderaan itu di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) semalam telah mencuri tumpuan edisi LIMA kali ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Perundingan dan Pembangunan Perniagaan Aerodyne Group, Imtyaz Mohd Azzat menafikan bahawa syarikat itu sedang membangunkan Vector sebagai kereta terbang.

Sebaliknya, kata Imtyaz, Vector direka untuk menjadi sistem pengangkutan udara dari satu destinasi ke destinasi lain.