Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib guna 'terowong' lagi elak jawab aset Hong Kong

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak sekali lagi menggunakan isu terowong dasar laut Pulau Pinang ketika diminta menjawab dakwaan pentadbirannya pernah cuba menjual Bangunan Malaysia di Hong Kong.

"Kami hanya akan komen bila Guan Eng jawab sama ada... kandungan RPK (artikel laman Raja Petra Kamaruddin, Malaysia Today) betul atau tidak.

"Dia (Lim Guan Eng) perlu komen dulu," kata Najib ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Najib merujuk dakwaan Raja Petra yang menyiarkan apa yang didakwa sebagai kenyataan saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari 2018, yang mengaitkan Lim dengan sogokan untuk projek terowong tersebut.

Pengarah Eksekutif Kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohamad Zulkifli - yang didakwa membuat kenyataan itu - telah menafikan dakwaan Raja Petra.

Zarul juga menyifatkan dakwaan itu sebagai "jahat" dan "rekaan semata-mata" memandangkan beliau tidak pernah didakwa atas tuduhan rasuah selepas siasatan tersebut selesai awal tahun lalu - ketika BN masih menjadi kerajaan.

Najib kemudian kelihatan marah apabila pemberita bertanya sama ada beliau menetapkan syarat sebelum menjelaskan peranan pentadbirannya dalam penjualan bangunan milik kerajaan di Hong Kong itu.

Wartawan: Anda ada syarat (sebelum menjawab)?

Najib: Tidak. Dia perlu komen dulu. Macam mana hanya kami saja perlu komen. Saya tahu apa yang kami buat. Saya boleh komen, tapi dia perlu komen dulu (dakwaan Raja Petra).

Wartawan: Kenapa anda cuba jual Bangunan Malaysia?

Najib: Dia (perlu) komen dulu. Saya akan jawablah. Dan saya juga akan minta Datuk Anifah (Aman, bekas menteri luar) untuk jawab.

Pada 19 Mac lalu, Najib menerusi hantaran di Facebook mengongsikan laporan berita berkenaan Bangunan Malaysia yang akan dijual "tak lama lagi" tanpa menyertakan kenyataan tambahan.

Sejumlah Pengikut Facebooknya kemudian mengkritik tindakan kerajaan persekutuan kerana cuba menjual bangunan 28 tingkat yang menempatkan konsulat dan pejabat agensi kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun Lim pada 26 Mac lalu memberitahu Dewan Rakyat bahawa pentadbiran Najib sendiri yang cuba menjualnya.

Beliau mendakwa Najib cuba menjual bangunan itu menerusi rundingan terus dan bukannya tender terbuka, seperti yang cuba dibuat kerajaan pada masa ini.

Ketika sidang Dewan Rakyat itu, Najib membalas: "Adakah projek terowong bawah tanah Pulau Pinang dibuat melalui tender terbuka? Jelaskan mengenai terowong terlebih dahulu."

Untuk rekod, kontraktor untuk projek terowong itu dipilih berdasarkan bidaan terbuka yang bermula pada 2011.


Baca: Kiniguide: Understanding the Penang undersea tunnel project


Najib kemudian berlalu pergi apabila ditanya tentang hubungannya dengan tokoh perhubungan awam terkemuka Amerika Syarikat (AS), Mark Corallo.

"Anda tanya Guan Eng dulu, kemudian saya jawab," katanya.

Dalam pemfailan terhadap Jabatan Kehakiman AS Mac lalu, Corallo menyatakan bahawa Najib adalah pelanggannya.

Beliau yang dikenali di negara itu sebagai 'pakar spin' Parti Republikan itu pernah menjadi penasihat perhubungan awam untuk pasukan tentera persendirian Blackwater Worldwide dan Presiden AS Donald Trump.