Skip to main
Logo Malaysiakini

Abim terbit buku berkisar Anwar

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Sebuah buku baru berkisar tentang Presiden PKR Anwar Ibrahim akan dilancarkan esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dimiliki Umno, parti yang pernah dianggotainya dua dekad lalu.

Buku bertajuk Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda yang diterbitkan Abim Press akan mula dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 yang akan berlangsung hingga 7 April depan.

Abim Press merupakan penerbitan yang dimiliki Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Buku berkenaan merupakan kompilasi 12 naratif peribadi tentang perjuangan Anwar yang ditulis penulis muda, termasuk dari kalangan aktivis, pelajar universiti dan pekerja sosial, katanya.

Ketika dihubungi, Presiden Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata tiada unsur politik dalam pelancaran buku itu di PWTC kerana tempat itu memang sudah menjadi tempat tradisi penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Anwar dikhabarkan tidak akan menghadiri majlis pelancaran buku itu esok, katanya.

Anwar akan ke Kedah untuk berjumpa pemimpin akar umbi PKR esok.

"Salah seorang ahli keluarganya akan melancarkan buku itu," kata Mohamad Raimi kepada Malaysiakini.

Tambahnya, buku berkenaan lebih kepada naratif peribadi berbanding mesej politik.

Abim merupakan salah satu kumpulan muslim yang utama di Malaysia.

Anwar merupakan presiden Abim dari 1974 hingga 1984. Ketika menjadi presiden Abim, beliau pernah ditahan selama 20 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).