Skip to main
Logo Malaysiakini

Fuziah kecewa ramai dalam k'jaan termakan cerita Lynas

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh menyuarakan kekesalannya berkenaan pihak dalam kerajaan yang meyakini naratif Lynas bahawa sisa yang dihasilkan di kilangnya di Gebeng, Kuantan, memiliki radiasi yang rendah.

"Lynas sangat bagus alam strategi penyebaran maklumat mereka, senang untuk mempercayai naratif radiasi tahap rendah mereka.

"Lynas tidak berkata apa-apa tentang hayat torium (unsur logam) yang lama dalam sisa radioaktif mereka - 14 bilion tahun half-life.

"Malangnya ramai orang dalam kerajaan juga percaya dengan naratif mereka," katanya yang juga anggota parlimen Kuantan, dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fuziah, hayat radiasi yang lama boleh memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan.

"Hanya selepas lima tahun operasi dan membuang sisa radioaktif di tapak mereka serta sisa berjadual berjumlah 1.5 juta metrik tan, malangnya air bawah tanah di bawah Lynas telah pun tercemar dengan logam berat," katanya lagi.

Lynas sebelum ini mengakui tahap logam berat yang tinggi daripada biasa tetapi mendakwa ia daripada sumber luar.

Semalam, Utusan Malaysia memetik Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof sebagai berkata, kilang Lynas tidak akan ditutup untuk memberi isyarat bahawa pelaburan langsung asing (FDI) dialu-alukan di negara ini.

Fuziah berkata Malaysia mengalu-alukan FDI tetapi bukan yang menyebabkan pencemaran.

Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) terletak dalam kawasan Parlimen Fuziah. Beliau sebelum ini berkempen agar Lynas membawa keluar sisanya daripada negara.

Kilang Lynas menghasilkan dua jenis sisa, iaitu Water Leached Purification (WLP) dan Neutralization Underflow Residue (NUF) - yang tidak mengandungi radioaktif tetapi membawa risiko pencemaran logam berat.

Setakat Disember tahun lalu, sisa WLP terkumpul di kilang Lynas adalah 451,564 tan manakala NUF pula 1.113 juta tan.

Lynas berhasrat menyimpan NUF sementara menunggu kajian untuk memproses dan mengkomersialkan sisa tersebut.

Pada Disember lalu, Kementerian tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata Lynas mesti membawa keluar sisa WLP radioaktif dari Malaysia.

Untuk sisa NUF tanpa radioaktif pula, Lynas diarahkan untuk menghantar pelan tindakannya. Bagaimanapun syarikat itu masih perlu membawa keluar NUF jika kerajaan tidak meluluskan kemudahan penyimpanannya.

Lynas berulang kali mengatakan pihaknya mematuhi peraturan ketat oleh kerajaan dan produk yang ingin dihasilkannya daripada sisa itu selamat.