Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon Bebas kepit mulut, bangkitkan isu 'penumpang'

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

PRK RANTAU | Mengotakan janjinya untuk ‘protes diam’ selama dua hari, calon Bebas R Malar mengejutkan ramai pihak apabila tampil dengan mengepit mulut dengan penyepit baju di khalayak ramai.

R Malar dilihat berbuat demikian ketika hadir di Pasar Malam Pekan Rantau petang ini bagi mengedarkan kad untuk memperkenalkan dirinya kepada penduduk.

Seperti semalam, beliau menegaskan sekali lagi protes itu dilakukan kerana BN dan PH didakwa tidak membenarkan calon masing-masing bercakap semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Semenyih sebelum ini.

Menurutnya, protes dua hari itu akan ditamatkan apabila beliau mengumumkan manifesto pada malam 2 April nanti di tempat sama.

“Sepit sakit tau. Jadi saya pakai pelekat (tape) saja. Bila saya rasa mulut saya sakit dengan sepit, saya akan pakai pita pelekat. Dua hari saja,” katanya kepada pemberita di pasar malam itu tadi.

Ditanya tentang pemilihan pasar itu sebagai tempat mengumumkan manifesto, Malar berkata pemilihan itu dibuat kerana dia mahu bekerja di tempat yang ‘dikenalinya’.

“Saya calon baru, saya harus bekerja dengan orang yang saya kenal. Di pasar ini saya datang makan, di tempat ini saya pergi pasar, saya guna Petronas di sana. Ini adalah tempat saya buat kerja harian”, katanya lagi.

'Saya bukan penumpang'

Selain itu, ketika disoal sebab beliau memilih untuk bertanding pada PRK kali ini, Malar menyatakan salah satu pendorongnya adalah kenyataan seorang pemimpin pada PRK Semenyih yang lalu yang menggelar pemimpin bukan Melayu sebagai ‘penumpang’.

“Saya bukan penumpang, saya tinggal di sini. Ayah saya dilahirkan di sini, ayah saya dilahirkan di sini. Moyang saya mati di sini.

“Saya tak anggap diri saya penumpang. Dakwaan itu membuatkan saya marah.

“Ada kata-kata yang mengatakan menteri bukan Melayu sebagai penumpang. Kalau mereka digelar penumpang, berapa lama lagi sebelum saya digelar penumpanng?”

Tegasnya, beliau adalah anak jati Malaysia dan bukannya penumpang seperti yang didakwa.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kenyataan calon BN, Mohamad Hassan semasa Ceramah Perdana Umno-PAS ketika kempen di PRK Semenyih Februari lalu.

Pemangku presiden Umno itu dilaporkan berkata ramai penumpang (menteri bukan Melayu) di kabinet sehingga membuatkan orang Melayu terasa seperti pelawat di negara sendiri.