Skip to main
Logo Malaysiakini

Kolej Rantau: Mat Hasan kata tak cukup orang, Streram rasa perlu

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK RANTAU | Hari ini calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram berkata beliau akan membincangkan cadangan mewujudkan insititut pengajian tinggi di kawasan DUN Rantau dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Calon BN Mohamad Hasan menyifatkan ia cadangan yang "baik" tetapi mempersoalkan sama ada Rantau mempunyai cukup penduduk untuk mewajarkan penubuhan sebuah institut.

"Idea tersebut bagus. Buatlah kolej... PH ini kadang-kadang cakap saja.

"Tetapi untuk wujudkan kolej, Rantau ini tak ramai penduduk, tak besar," katanya ketika sidang media di situ, hari ini.

Ketika menjadi menteri besar, kata Mohamad Hasan, antara perancangannya adalah mewujudkan jumlah penduduk yang mencukupi dan menjadikan Seremban sebahagian daripada Lembah Klang Raya (greater Klang Valley).

Katanya, beliau mewujudkan rumah dahulu agar orang boleh tinggal di situ dan berulang ke Kuala Lumpur, dan selepas ada penduduk yang cukup, beliau berusaha mewujudkan peluang pekerjaan agar mereka tidak perlu lagi berulang-alik.

Jarak Rantau dengan Seremban adalah kira-kira 20 kilometer, manakala dengan Kuala Lumpur kira-kira 80 kilometer (dengan menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan).

Mengulas kenyataan itu, Streram berkata institut pengajian tinggi tidak semestinya hanya dibina di kawasan bandar atau tempat dengan kepadatan penduduk yang tinggi.

"Rantau ini masih dekat dengan Seremban, Port Dickson. Kalau kita bina kolej remaja dari sana boleh belajar di Rantau.

"Ia juga boleh membantu ekonomi penduduk tempatan seperti membuka kedai makan atau perkhidmatan lain kepada pelajar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Streram berkata beliau telah menerima beberapa cadangan berkenaan perkara itu.

"Saya terima banyak cadangan, sama ada kolej atau paling kurang pusat latihan kemahiran.

"Ada juga cadangan daripada syarikat yang nak buat program (latihan kemahiran) kepada remaja yang sudah berhenti sekolah. Jadi kalau nak kata tak cukup orang (untuk belajar) tidak benar," katanya lagi.