Skip to main
Logo Malaysiakini

SPR nafi cuba kurangkan momentum kemenangan BN

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

PRK RANTAU | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan calon BN mohamad Hasan suruhanjaya itu menangguhkan tarikh PRK itu untuk mengurangkan momentum kemenangan BN, selepas kemenangan berturut-turut dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih.

"SPR menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu. Sebagai insititusi perlembagaan yang mana ahli-ahlinya telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, SPR sentiasa menunaikan tanggungjawab dan amanahnya dengan profesional serta tidak menyebelahi mana-mana pihak di dalam mana-mana pilihan raya.

"SPR ingin memberi jaminan bahawa semua tindakan SPR tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik ataupun kecenderungan fahaman politik," kata Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun.

Mohamad membuat dakwaan itu ketika berceramah di Kampung Sendayan semalam.

Mohamad Hasan

selalunya dia mesyuarat minggu ni, minggu depan akan ada pencalonan atau proses pencalonan. (Sebaliknya) dia tunggu sebulan.

“Sebab dia (SPR) nak momentum kemenangan Cameron Highlands dan Semenyih itu mendatar, ataupun hilang. Dia buat (begitu),” kata Mohamad.

Berdasarkan semakan Malaysiakini terhadap tarikh penting dalam PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, PRK Rantau diadakan sedikit lewat tetapi tidak terlalu berbeza dengan dua PRK sebelumnya.

Tempoh antara tarikh notis kekosongan sehingga hari mengundi untuk PRK Cameron Highlands adalah 42 hari, Semenyih 33 hari dan Rantau 46 hari.

Mengulas lanjut, Azhar berkata SPR menerima perakuan Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan berkenaan pembatalan keputusan PRU ke-14 untuk DUN Rantau pada 26 Februari, dan membuat mesyuarat khas pada 6 Mac.

Pada masa sama ketika itu, katanya, SPR sedang membuat persiapan untuk PRK Semenyih yang diadakan pada 2 Mac.

"SPR ingin menekankan semua peruntukan undang-undang telah dipatuhi SPR. Tarikh-tarikh penting bagi PRK Rantau ditetapkan mengikut kesesuaian selepas mengambil kira semua faktor berkenaan," katanya lagi.