Skip to main
Logo Malaysiakini

Fuziah: Redzuan tiada kaitan dalam isu Lynas

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh hari ini menempelak Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Md Yusof susulan kenyataannya tentang Lynas, dan menyifatkan isu tersebut bukan bawah bidang kuasa kementeriannya.

Beliau berkata isu berkaitan Lynas terletak bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), manakala pelaburan langsung asing (FDI) di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) yang merupakan agensi bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"(Isu Lynas) tada sebarang kaitan dengan Kementerian Pembangunan Usahawan. Maksudnya dia (Redzuan) tiada lokus standi," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Redzuan hari ini bahawa kerajaan belum membuat keputusan sama ada Lynas perlu membawa keluar sisa yang dihasilkan di kilangnya dari Malaysia, walaupun Menteri Mestecc dilaporkan bahawa syarikat dari Australia itu perlu berbuat demikian.

"Saya tak pasti jika itu pendirian peribadinya atau keputusan yang dibuat kabinet, tapi kita belum membuat keputusan muktamad bersama untuk menghantar sisa berkenaan ke Australia," kata Redzuan.

Fuziah yang juga timbalan menteri di jabatan perdana menteri berkata, beliau tetap berpegang dengan pendiriannya bahawa Lynas perlu mengeluarkan sisa kilangnya dari Malaysia.

"Sekarang dilapor mereka kena hantar sisa itu ke Australia sebelum September. Mereka perlu patuhi syarat jika mahu menyambung lesen operasi," katanya lagi.

Terdahulu hari ini, Timbalan Menteri Mestecc Isnaraissah Munirah Majilis berkata kementeriannya tegas dalam soal itu dan pasukan petugas khas telah menulis surat rasmi kepada pihak Australia pada 26 Feb lalu.

Beliau juga berkata pasukan petugas khas kini sedang mengenal pasti prosedur antarabangsa dan peralatan bagi membawa sisa Lynas keluar dari Malaysia.